Umno tiada hasrat jadi pembangkang di N Sembilan, tegas Zahid

Umno tiada hasrat jadi pembangkang di N Sembilan, tegas Zahid

Zahid Hamidi berkata Umno kekal sokong kerajaan perpaduan dan tidak bincang pengganti Menteri Besar Aminuddin Harun.

Zahid Hamidi pendirian Jalaluddin Alias pada Sabtu hanya bersifat kenyataan sahaja.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal sebahagian kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah membincangkan pengganti Menteri Besar Aminuddin Harun.

Bercakap kepada media selepas satu majlis, Zahid berkata pihaknya tidak berminat menjadi pembangkang seperti disuarakan oleh Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, Sabtu lalu.

“Kita tiada niat nak jadi pembangkang, itu satu sebuah kenyataan sahaja.

“Tapi Umno pusat telah memutuskan 14 Adun di Negeri Sembilan itu tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.

Minggu lalu, 14 Adun BN Negeri Sembilan mengisytiharkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin susulan dakwaan kegagalannya menguruskan krisis institusi di negeri itu sehingga menjadi perdebatan umum.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Jalaluddin pada Sabtu berkata pihaknya rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan susulan krisis adat dan perlembagaan di negeri itu.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak rela melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Aminuddin.

Berhubung kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan PRN mengejut, pengerusi BN itu berkata parti komponennya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

“Semua parti telah bersiap sedia dan paling penting apabila mandat kepada rakyat ini kita serahkan semula, maka rakyat harus memilih kombinasi terbaik,” katanya.

Zahid mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Zahid menegaskan agenda Bumiputera kekal sebagai asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan, sambil memberi jaminan peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus diperkasakan selari dengan matlamat asal penubuhannya.

Beliau berkata, perkara itu jelas termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, selain menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui oleh pemimpin pelbagai kaum sejak sebelum kemerdekaan.

Namun, Zahid menjelaskan dalam konteks semasa, usaha memperkasakan agenda itu tidak bermaksud meminggirkan kaum lain, sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasional yang lebih menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.