
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno perlu keluar daripada bayangan nostalgia bagi memastikan kelangsungannya dalam politik negara untuk jangka panjang.
Beliau berkata kenyataan naib presiden Umno Johari Ghani membuktikan parti itu masih mampu ‘jujur terhadap dirinya sendiri’, satu sikap yang membolehkan Umno menilai realiti politik semasa dengan lebih objektif.
“Umno yang tidak berani mengakui kelemahannya, termasuk defisit kepercayaan yang dihadapinya dalam kalangan rakyat, berisiko merangka strategi berasaskan tanggapan yang salah.

“Parti politik yang bermuhasabah lebih bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, sosial dan geopolitik. Umno yang bermuhasabah bermakna ia bersedia belajar untuk kekal relevan,” katanya kepada FMT.
Awang Azman berkata kesedaran diri akan membantu Umno membina naratif berpaksikan reformasi, sambil menambah mesej seperti itu jauh lebih berkesan memenangi hati pengundi berbanding sekadar bergantung kepada retorik.
Katanya, banyak parti politik gagal terutama kerana enggan berubah.
Muhasabah diri juga membolehkan Umno menilai semula cara pemimpin dipilih serta memperhalusi pendekatannya dalam mendekati pengundi, tambahnya.
“Ia akan membolehkan Umno beralih daripada parti yang mengamalkan naungan politik kepada parti yang berasaskan idea dan prestasi.”
Awang Azman berkata parti politik yang jujur terhadap dirinya sendiri akan lebih jelas memahami kekuatan dan kelemahannya, serta tahu bila kompromi perlu dibuat.
Tanpa muhasabah, katanya, sesebuah parti berisiko terperangkap antara kehendak akar umbi dengan realiti semasa, sekali gus menyebabkan mesej yang dibawa menjadi bercampur-aduk.
Dalam ucapannya pada konvensyen ulang tahun ke-80 Umno Sabtu lalu, Johari mengingatkan pemimpin parti supaya sedar bahawa Umno hanya mempunyai 26 kerusi di Dewan Rakyat.
Beliau berkata banyak ucapan sebelum itu seolah-olah bertolak daripada tanggapan salah bahawa Umno masih berada pada kedudukan kuasa mutlak.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata Umno juga perlu menerima hakikat bahawa pengundi Melayu kini mempunyai pelbagai pilihan, dan imej serta integriti parti yang tercalar masih belum dipulihkan sepenuhnya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata landskap politik semasa sudah berubah secara drastik sejak 30 tahun lalu, dan kini setiap parti mempunyai peluang untuk menjadi kerajaan.
Katanya, Umno tidak boleh leka, sambil menambah bahawa itulah mesej yang cuba disampaikan Johari dalam ucapannya.
Mazlan mencadangkan Umno meneliti data daripada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri baru-baru ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang realiti politik semasa.
“Orang yang tenggelam dalam nostalgia ialah mereka yang tidak membuat kajian, tetapi tokoh korporat seperti Johari biasanya memahami fakta.”