
Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara Umno dan PH.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, hari ini.
Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju mengekalkan kerjasama kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan demi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
Kenyataan itu turut memaklumkan majlis perundingan menghormati pendirian yang diputuskan Biro Politik Umno dan PH masing-masing berhubung isu yang timbul di negeri tersebut.
Terdahulu, pimpinan utama PH dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan petang tadi bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk krisis politik Negeri Sembilan.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata mesyuarat di Putrajaya berlangsung selepas mesyuarat dalaman PKR dan PH diketuai Anwar selesai.
Minggu lalu, 14 Adun BN Negeri Sembilan mengisytiharkan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun susulan dakwaan kegagalannya menguruskan krisis institusi di negeri itu sehingga menjadi perdebatan umum.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, pada Sabtu berkata pihaknya rela menjadi pembangkang daripada bersama PH dalam pentadbiran kerajaan susulan krisis adat dan perlembagaan di negeri itu.
Katanya, ini kerana mereka tidak rela melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Aminuddin.
Bagaimanapun, Zahid yang juga presiden Umno hari ini menegaskan parti itu kekal sebahagian kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah membincangkan pengganti Aminuddin.
Zahid berkata, pihaknya tidak berminat menjadi pembangkang seperti disuarakan oleh Jalaluddin.