Jangan jadikan kemiskinan bahan politik, setpol MB tegur Azmin

Jangan jadikan kemiskinan bahan politik, setpol MB tegur Azmin

Kerajaan Selangor tidak pernah nafi kewujudan golongan memerlukan, kata Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, minta Ketua Pembangkang Azmin Ali jangan jadikan isu kemiskinan bahan politik.
PETALING JAYA:
Data eKasih dan bantuan kebajikan bukan bukti kerajaan Selangor gagal menangani kemiskinan, kerana ia sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi.

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, menegaskan kerajaan tidak pernah menafikan kewujudan golongan memerlukan, dan mengambil pendekatan berasaskan data rasmi serta pendapatan garis kemiskinan.

Beliau menyenaraikan beberapa bantuan kebajikan secara berterusan seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor, Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas yang diperkasa dari semasa ke semasa.

“Pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa,” katanya menurut kenyataan.

“Kerajaan juga menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya institusi zakat diperkasakan serta agenda membasmi kemiskinan terus diberi perhatian secara berterusan dan bersepadu.”

Saifuddin mengingatkan bahawa usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, institusi zakat, agensi berkaitan dan masyarakat.

“Janganlah isu ini dijadikan bahan politik untuk menyerang kerajaan,” katanya, menjawab kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali.

Terdahulu, Azmin berkata kenyataan bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan adalah tidak selari dengan realiti, mengatakan terdapat 21,997 ketua isi rumah masih berdaftar dengan eKasih pada 2024, dan 59,731 penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2024.

Pada 29 April lalu, Anwar dilaporkan berkata isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan, dan perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam mesyuarat pembangunan daerah Petaling yang dihadiri Amirudin dan barisan exco, serta Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizah dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.