KJ cenderung tanding kerusi bandar

KJ cenderung tanding kerusi bandar

Bekas menteri kesihatan itu sebelum ini tidak menolak kemungkinan kembali bertanding di Sungai Buloh.

khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin pernah mewakili Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022 sebelum dipindahkan ke Sungai Buloh pada PRU15.
PETALING JAYA:
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendedahkan dirinya cenderung bertanding di kerusi bandar, menjawab persoalan sering dibangkitkan selepas beliau kembali ke pangkuan parti itu, bulan lalu.

Khairy atau lebih dikenali KJ berkata demikian dalam sedutan temu bual program audio siar ‘On Tak On’.

“Seat urban (bandar),” katanya menjawab soalan moderator sama ada beliau memilih kerusi bandar atau luar bandar.

Pada 18 Apr lalu, Majlis Kerja Tertinggi Umno mengumumkan menerima permohonan Khairy untuk menyertai parti itu susulan tawaran Presiden Zahid Hamidi di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Turut diterima bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein dan veteran Syed Hamid Albar.

Khairy dipecat, manakala keahlian Hishammuddin digantung selama enam tahun kerana melanggar disiplin parti.

Bekas menteri kesihatan itu pada 1 Mei lalu berkata beliau tidak menolak kemungkinan kembali bertanding di Sungai Buloh, namun menegaskan sebarang keputusan terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

Khairy pernah mewakili Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, beliau dipindahkan Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, R Ramanan.

FMT sebelum ini melaporkan pandangan penganalisis yang percaya kerusi bandar dan separa bandar paling sesuai buat Khairy sekiranya beliau terpilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.