
Bekas menteri kesihatan itu berkata, kehadirannya ke Sungai Buloh baru-baru ini kerana kawasan itu yang terakhir ditandinginya sebelum dipecat Umno pada 2023.
“Itu serah kepada pucuk pimpinan…kita tak nak mendahulinya, cuma saya pergi Sungai Buloh sebab itu bahagian terakhir saya…waktu saya kena buang, saya di Sungai Buloh,” katanya pada program Meet & Greet Pemuda Umno bersama ahli baharu di Putra Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Khairy pernah mewakili Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, beliau dipindahkan Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, R Ramanan.
Khairy dipecat pada 2023 kerana lantang mengkritik Umno ketika kempen PRU15.
Apabila Presiden Umno, Zahid Hamidi, membuka pintu kepada bekas ahli melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’, Khairy antara yang terawal menghantar surat rayuan.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui mesyuarat pada 19 April lalu membuat keputusan menerima semula 6,252 bekas ahli, termasuk nama besar seperti Hishammuddin Hussein dan Syed Hamid Albar.
Sehari selepas diterima masuk, Khairy terus memainkan peranan sebagai ahli Umno dengan bertemu pimpinan Sungai Buloh yang diketuai Megat Firdouz Megat Junid.
Selain Sungai Buloh, ada juga pemimpin Umno meminta bekas ketua Pemuda itu bertanding di negeri tertentu.
Bulan lalu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Mohd Safwan Jaafar, berkata BN negeri itu memerlukan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik.