
Salleh berkata memandangkan Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya ‘first-past-the-post’, kerjasama dengan parti lain bukan lagi pilihan, sebaliknya satu realiti politik.
“Umno perlu bekerjasama dengan rakan yang mempunyai matlamat sama bagi mengelakkan perpecahan undi dan meningkatkan peluang kemenangan,” katanya di Facebook sempena ulang tahun ke-80 Umno pada 11 Mei.
Dalam konteks Sabah, beliau berkata, kerjasama Umno dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah pilihan jelas dan strategik.
Katanya, Umno dan GRS kini dilihat sehaluan dalam isu berkaitan kepentingan negeri.
Bekas ketua menteri Sabah itu turut berkata penilaian pengundi kini lebih kritikal dan berasaskan isu, dengan tumpuan diberikan kepada ketelusan, integriti, pengurusan ekonomi serta kos sara hidup.
“Umno masih mampu bertahan. Namun, kejayaan bergantung kepada strategi yang betul dan kerjasama yang bijak.
“Keputusan juga perlu dibuat berdasarkan data, kekuatan dan kelebihan yang ada — bukannya didorong emosi atau sentimen,” katanya.