
Beliau menggariskan faktor kestabilan serta rekod pentadbiran lampau menjadi tarikan utama kepada generasi muda yang mula memasuki usia layak mengundi.
“Pada pandangan saya, Umno antara parti yang paling stabil hari ini. Ia sudah melalui pelbagai fasa dan pengalaman mentadbir,” katanya pada program ‘Meet & Greet’ Pemuda Umno bersama ahli baharu di Putra Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Selain faktor kestabilan, elemen nostalgia memainkan peranan dalam menarik minat golongan muda yang sebelum ini hanya menyaksikan perjalanan politik negara sebagai pemerhati.
“Sekarang sudah berumur 18 tahun ke atas, boleh jadi ahli dan mengundi. Mereka lihat daripada semua parti yang pernah mentadbir, Umno ada rekod dan pengalaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan lonjakan keahlian baharu dalam kalangan anak muda didorong oleh pengaruh individu tertentu, termasuk dirinya.
Sebaliknya, peningkatan tersebut hasil usaha bersepadu pelbagai pihak dalam parti, khususnya Pemuda dan Puteri.
Sementara itu, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata seramai 8,008 ahli baharu telah menyertai pergerakan itu, tidak termasuk keahlian sayap Puteri, sejak pendaftaran atas talian dibuka 20 April lalu.
Beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran secara dalam talian memudahkan penyertaan.
“Kita nampak semangat luar biasa. Mereka tidak kisah cawangan atau bahagian, asalkan dapat menjadi ahli Umno,” katanya.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat pindaan terhadap peraturan keahlian dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama dalam kalangan anak-anak muda.
Pindaan berkenaan menyusuli tinjauan oleh Pemuda dan Puteri Umno yang mendapati ramai golongan muda berminat menyertai parti itu.