Penganjuran harus selari budaya, agama dan identiti, tegas Umno

Penganjuran harus selari budaya, agama dan identiti, tegas Umno

Umno berkata ia telah meminta penganjuran program diteliti susulan kegusaran mengenai festival air di ibu negara.

Zahid Hamidi
Presiden Zahid Hamidi kata apa juga penganjuran program tidak boleh ketepi nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat.
PETALING JAYA:
Umno mahu penganjuran program diteliti supaya selari dengan nilai budaya, agama, dan identiti negara, susulan kegusaran mengenai festival air yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Presiden Zahid Hamidi berkata Umno telah meminta supaya program seumpama itu diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaan, kerana apa juga penganjuran tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.

“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya di Facebook.

Menurut Zahid, pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung festival air yang sedang berlangsung mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat.

“Prinsip kita jelas: berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat,” katanya.

Rain Rave Water Music Festival yang sedang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang dijangka antara tarikan utama Tahun Melawat Malaysia tahun ini, dengan konsep unik menggabungkan muzik, elemen air, dan visual interaktif.

Acara itu mengundang bantahan pelbagai pihak, termasuk Umno dan PAS. Berita Harian melaporkan Jawi membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival, kerana ia dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.