
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno berkata, keselesaan yang terjalin bukan bermaksud mana-mana pihak bersikap leka, sebaliknya terbina hasil persefahaman kukuh antara parti kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terus dibebani polemik politik.
“Rakyat mesti tidak dipersulitkan dengan polemik berlarutan dan perbezaan pendirian atau pandangan setiap masa,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 Umno baru-baru ini.
Pengerusi BN itu berkata, demi kepentingan rakyat, semua parti dalam kerajaan perpaduan memilih untuk mengetepikan perbezaan dan ketidakselesaan politik bagi memastikan setiap agenda dijanjikan dalam manifesto PRU15 dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, kerajaan memberi keutamaan kepada perkara yang menjadi titik persamaan antara manifesto parti bertanding pada PRU15, khasnya dalam isu kos sara hidup, pendidikan dan pengangguran.
“Kemudian tentang pendidikan, pengangguran, itu tidak ada pertikaian pun antara parti-parti bertanding,” kata Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.
Katanya, 47% kandungan manifesto parti yang membentuk kerajaan perpaduan mempunyai persamaan, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kerjasama sedia ada.
“Jadi, kenapa kita mahu melayan perbezaan, jika kita mempunyai matlamat sama?
“Selain itu, terdapat perkara terperinci yang kita harus tangani, itu sebabnya kita mempunyai Majlis Perundingan Antara Parti untuk merundingkan perbezaan dan melaksanakan kebersamaan daripada manifesto untuk mempunyai tujuan jelas.”
Dalam pada itu, tegasnya, semua parti komponen kerajaan perpaduan, termasuk DAP menghormati empat tonggak utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini dibuktikan dengan beberapa keselesaan yang telah kami lalui dan mereka amat menghormati perjanjian penubuhan kerajaan perpaduan, yang terdapat empat tonggak utama, iaitu soal agama Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, soal hak istimewa orang Melayu.
“Mereka juga bukan sekadar menghormati, tetapi mengakui itu adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan.”
Kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU15 pada 2022 apabila tiada gabungan mendapat majoriti mudah. Ia diterajui Pakatan Harapan bersama BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan serta disokong beberapa parti lain dan Ahli Parlimen bebas.