
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.
“Lagipun semuanya berasal daripada rahim Umno juga. Bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Agenda Rumah Bangsa adalah insiatif Presiden Umno Zahid Hamidi bagi mempelawa ahli yang dipecat dan digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan sekali gus menyatukan orang Melayu.
Semalam, lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun di Kedah, dan menggantung tujuh termasuk lima Ahli Parlimen.
Lembaga menyatakan mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menurut notis dilihat FMT, ditandatangani Pengerusi Radzi Manan.
Adun yang dipecat keahlian adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad.
Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin).
Dua Adun turut digantung keahlian iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang).