2 Adun dipecat Bersatu masih jalan tugas exco, timbalan speaker, kata Sanusi

2 Adun dipecat Bersatu masih jalan tugas exco, timbalan speaker, kata Sanusi

Menteri Besar Sanusi Nor berkata sebarang tindakan perlu melalui proses pentadbiran ditetapkan, selain mendapat perkenan Sultan Kedah.

Dzowahir Ab Ghani n abdul razak khamis
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata buat masa ini, Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani dan Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan negeri.
ALOR SETAR:
Kedudukan dua Adun Kedah yang dipecat Bersatu akan diperincikan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menteri Besar, Sanusi Nor, berkata sebarang tindakan perlu melalui proses pentadbiran ditetapkan, selain mendapat perkenan Sultan Kedah.

“Buat masa ini, kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa, sementara kerajaan negeri meneliti isu berkenaan sebelum menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kedudukan Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang juga exco pertanian, perladangan dan pengangkutan Kedah serta Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis selaku timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dipecat Bersatu semalam.

Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional Kedah berkata, buat masa ini, dua wakil rakyat itu bertindak sebagai Adun bebas yang menyokong kerajaan negeri.

Menurutnya, surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran exco dan timbalan speaker telah diterima sebelum ini, tetapi tiada tindakan diambil kerana dua pemimpin terbabit ketika itu masih ahli Bersatu.

Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali semasa program Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah, di sini, pada 10 April lalu.

“Ketika itu, kedua-dua wakil rakyat terbabit belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan exco dan timbalan speaker.”

Semalam, Bersatu dalam notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Radzi Manan, memaklumkan parti itu memecat Dzowahir dan Abdul Razak berkuat kuasa serta-merta.

Mereka dipecat atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.