Bersatu pecat 2 Adun, gantung 5 MP

Bersatu pecat 2 Adun, gantung 5 MP

Lembaga disiplin Bersatu menyatakan mereka melanggar perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

bersatu logo
Lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun, serta menggantung dua Adun dan lima Ahli Parlimen, berkuat kuasa hari ini.
PETALING JAYA:
Lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun di Kedah, dan menggantung tujuh termasuk lima Ahli Parlimen, berkuat kuasa hari ini.

Lembaga menyatakan mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menurut notis dilihat FMT, ditandatangani Pengerusi Radzi Manan.

Adun yang dipecat keahlian adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad.

Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin).

Dua Adun turut digantung keahlian iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang).

Mereka digantung keahlian selama dua penggal pemilihan. Segala jawatan yang dipegang terlucut, dan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tempoh penggantungan tamat.

Lembaga memaklumkan mereka semua boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Sementara itu, lembaga memberikan amaran kepada tiga Ahli Parlimen iaitu Kalam Salan (Sabak Bernam), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), dan Zakri Hassan (Kangar).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.