Seorang lagi Adun Bersatu N Sembilan ubah pendirian, pilih berkecuali

Seorang lagi Adun Bersatu N Sembilan ubah pendirian, pilih berkecuali

Adun Labu Hanifah Abu Baker berkata sebarang perubahan kerajaan negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya.

hanifah abu baker
Adun Labu Hanifah Abu Baker yang juga ketua pembangkang berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lagi Adun Bersatu di Negeri Sembilan mengubah pendirian dan mengumumkan langkah berkecuali dengan tidak menyokong perubahan kerajaan negeri, susulan tindakan 14 Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Adun Labu Hanifah Abu Baker berkata keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

Katanya, keutamaan beliau adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran.

“Dalam masa sama, kami berpandangan bahawa pendirian Umno di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.

“Malah pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Beliau yang juga ketua pembangkang Negeri Sembilan berkata sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui PRU atau PRN yang akan datang.

Hanifah juga menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.

Terdahulu hari ini, Adun Gemas Ridzuan Ahmad juga mengumumkan beliau tidak menyokong perubahan kerajaan negeri dengan alasan ia berpotensi menyebabkan ketidakstabilan politik dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Ridzuan berkata sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk penukaran kepemimpinan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ketua Umno negeri, Jalaluddin Alias mengumumkan 14 Adun Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis berterusan membabitkan empat Undang dikatakan cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Susulan itu, Perikatan Nasional Negeri Sembilan yang mempunyai lima Adun menawarkan kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri. Majoriti mudah 19 Adun diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.