Adun Bersatu ubah pendirian, tak sokong perubahan kerajaan N Sembilan

Adun Bersatu ubah pendirian, tak sokong perubahan kerajaan N Sembilan

Ridzuan Ahmad berkata beliau ambil pendekatan berkecuali demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

Ridzuan Ahmad
Adun Gemas Ridzuan Ahmad antara lima Adun PN Negeri Sembilan yang sebelum ini menyatakan sedia bekerjasama dengan 14 Adun BN untuk bentuk kerajaan negeri baharu. (Gambar PSUKNS)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Bersatu di Negeri Sembilan memilih untuk tidak menyokong perubahan kerajaan negeri dengan alasan ia berpotensi menyebabkan ketidakstabilan politik dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Adun Gemas Ridzuan Ahmad mengakui sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk penukaran kepemimpinan kerajaan negeri walaupun 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Katanya, beliau mengambil pendirian berkecuali dalam kemelut politik yang melanda dan mahu menumpukan isu-isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi.

“Pendirian ini diambil setelah mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat dan kestabilan negeri serta negara secara keseluruhannya.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan bahawa keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana semasa yang mencabar,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.

Ridzuan berkata beliau untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus sepenuhnya kepada kebajikan rakyat dan kekal di sebelah pembangkang bagi melaksanakan tugas semak dan imbang segala dasar kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan 14 Adun BN itu susulan krisis berterusan membabitkan empat Undang dikatakan cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Susulan itu, Perikatan Nasional Negeri Sembilan yang mempunyai lima Adun menawarkan kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri. Majoriti mudah 19 Adun diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.