Pemuda Bersatu rombak pimpinan hadapi PRU, PRN

Pemuda Bersatu rombak pimpinan hadapi PRU, PRN

Ketua Penerangan Harris Idaham Rashid berkata sayap itu meneliti potensi meletakkan calon di 15 Parlimen dan 32 DUN lima negeri.

Bersatu Youth information chief Harris Idaham Rashid email pic 17226
Ketua Penerangan Bersatu Harris Idaham Rashid berkata biro pihaknya meramalkan PRN bakal menyusul di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, dan Pahang susulan hubungan PH-BN dilihat semakin meruncing.
PETALING JAYA:
Pemuda Bersatu merombak kepimpinan peringkat negeri dan pusat sebagai persediaan menghadapi PRU serta PRN lima negeri yang dijangka dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan, Harris Idaham Rashid, berkata biro politik sayap itu meramalkan PRN bakal menyusul di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, dan Pahang susulan hubungan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang dilihat semakin meruncing.

“Pemuda mengambil ketetapan untuk segera melipatgandakan usaha mempersiapkan barisan kepimpinan muda dan pembangunan jentera pilihan raya yang lebih efektif serta kompeten di kawasan tumpuan Bersatu.

“Selain penyusunan semula ketua negeri, biro politik turut melantik tiga ahli jawatankuasa pusat baharu bagi mengisi kekosongan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi rombakan itu, Harris dilantik sebagai penyelaras Pemuda Pahang, manakala Bendahari Nor Zahid Rahim pula menggalas tanggungjawab penyelaras Pemuda Sabah.

Pelantikan lain melibatkan Na’im Brundage sebagai ketua Pemuda Selangor, Mohamad Shaiful Sazali (Perlis), dan Abdul Halim Md Nayan (Perak).

Mengulas lanjut, Harris berkata sayap itu juga sedang meneliti potensi untuk meletakkan calon muda di 15 Parlimen dan 32 kerusi DUN di lima negeri berkenaan.

“Bagi mempersiapkan calon-calon ini, Armada akan melancarkan ‘Akademi Kepimpinan Bersatu’ dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia (Masa) dan Institut Kajian Dasar (IKD).

“Ini adalah tanggungjawab kami untuk melahirkan kepimpinan muda yang berintegriti, berketrampilan, dan berwibawa,” katanya.

Katanya, strategi latihan jentera kini berubah daripada sistem berpusat kepada latihan di peringkat negeri tumpuan bagi memastikan petugas lebih terlatih di lapangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.