KJ gesa kembalikan GST demi kukuh asas kewangan negara

KJ gesa kembalikan GST demi kukuh asas kewangan negara

Bekas menteri persekutuan itu berkata SST yang sedang dilaksanakan tidak cukup kukuh untuk menampung keperluan hasil negara.

gst
Bekas menteri persekutuan Khairy Jamaluddin berkata beliau pernah menyuarakan cadangan pelaksanaan semula GST kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kira-kira setahun selepas pembentukan kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri persekutuan, Khairy Jamaluddin mengulangi gesaan untuk kerajaan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi memperkukuhkan asas kewangan negara, walaupun perlu menggunakan nama berbeza.

Ini kerana, katanya, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan tidak cukup kukuh untuk menampung keperluan hasil negara, khasnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan subsidi kerajaan.

Menurutnya, beliau pernah menyuarakan pandangan itu kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kira-kira setahun selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

“Saya merayu kepada Anwar. Kalau satu benda yang Datuk Seri boleh buat adalah kembalikan GST. Kembalikanlah, tak payah panggil GST pun tak apa. Panggil apa pun boleh. ‘X tax’ atau ‘Fair and Equitable Tax’. Madani Tax pun tak apa.

“Kalau tidak, asas kita tak cukup kukuh. Bila kita politikkan pengurusan ekonomi negara, rakyat menderita,” katanya dalam Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) anjuran Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata, asas percukaian negara ketika ini terlalu kecil dan tidak mampu menjadi penampan, jika berlaku krisis besar seperti pandemik Covid-19 atau konflik geopolitik yang menjejaskan ekonomi dunia.

GST diperkenalkan di era pentadbiran Najib Razak pada 1 April 2015 dengan kadar 6% sebelum dimansuhkan Pakatan Harapan yang mengambil alih pentadiran Putrajaya selepas PRU14, diganti dengan SST.

Khairy mendakwa pemansuhan GST sebelum ini dibuat atas pertimbangan politik sehingga menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan lebih stabil.

“Cukai kita tak cukup dan pendapatan (negara) kita juga tak cukup.

“What if something happens? Macam Covid-19, tak pernah terjadi, sekarang sudah terjadi. Perang di Asia Barat contohnya, jadi saya kata, you (kerajaan) cannot cover dengan SST.”

Menurutnya, dakwaan GST membebankan rakyat tidak tepat kerana banyak barangan asas ketika itu dikecualikan cukai atau dikenakan kadar sifar, termasuk pendidikan, kesihatan dan keperluan harian.

Sebaliknya, beliau berkata, pelaksanaan SST ketika ini lebih rumit, khasnya kepada perusahaan kecil dan sederhana kerana wujud “cascading effect” yang menyebabkan cukai bertindih di beberapa peringkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.