
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan bekas ketua Pemuda Umno itu tidak boleh dijadikan sandaran sepenuhnya memulihkan keyakinan rakyat sebaliknya parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu juga perlu fokus lahirkan pemimpin baharu yang menawarkan idea segar.
Beliau berkata Khairy atau lebih dikenali KJ mungkin lebih berkesan sekiranya bergerak tanpa jawatan rasmi kerana tidak terikat birokrasi parti dan boleh mendekati orang ramai terutama anak muda menggunakan gaya tersendiri.
“Jika KJ diberi jawatan rasmi, ia mungkin menghidupkan sedikit denyut politik, tetapi tetap tidak menyelesaikan masalah asas Umno.
“Jika parti gagal melahirkan pemimpin muda berwibawa, aura KJ hanya menjadi ubat penahan sakit yang tidak menyembuhkan penyakit sebenar,” katanya kepada FMT.
Khairy yang dipecat Umno pada 2023 diterima kembali bulan lalu dan beliau tidak meletakkan sebarang syarat kemasukan.
Turut diterima kembali, bekas naib presiden Hishammuddin Hussein dan tokoh veteran Umno Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Kelmarin, Khairy berkata Presiden Zahid Hamidi ada memintanya meneliti ‘perkara khusus’ yang bagaimanapun menurut bekas menteri kesihatan itu bukan berkait jawatan rasmi.
Bagaimanapun, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan Khairy wajar diberi peranan strategik termasuk dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi atau menerajui pasukan baharu yang memfokuskan usaha menarik sokongan anak muda.
“Wujudkan satu posisi strategik bagi menarik anak muda seperti ketua mobilisasi anak muda yang merentasi sayap Pemuda dan Puteri.
“Pengalaman KJ dalam politik, kerajaan, radio dan podcast (audio siar) memberi kelebihan kepada Umno mendekati segmen pengundi muda serta pengundi atas pagar,” katanya.
Menurutnya, perbezaan pandangan sebelum ini antara Khairy dan Zahid sebagai perkara biasa dalam politik dengan sejarah Umno menunjukkan seseorang itu masih boleh mendaki kedudukan walaupun selepas dipecat.
“Dr Mahathir Mohamad pernah dipecat daripada Umno sebelum kembali dan akhirnya menjadi presiden parti serta perdana menteri,” katanya tidak menolak kemungkinan Khairy juga mungkin mengulangi langkah sama.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata Khairy wajar diberikan peranan bersesuaian dengan pengalaman luasnya dalam politik dan kerajaan.
Menurutnya, Khairy bukan ‘pucuk baharu’ dalam politik, sebaliknya pernah memegang beberapa jawatan penting yang membolehkannya menyumbang idea kepada Umno.
“Beliau wajar diberikan peranan bersesuaian dengan pengalaman lalu, KJ boleh ketengahkan idea untuk menarik lebih ramai orang menyertai Umno terutama anak muda,” katanya.