PRU16 serentak PRN Melaka, Johor bergantung situasi politik, kata Zahid

PRU16 serentak PRN Melaka, Johor bergantung situasi politik, kata Zahid

Presiden Umno berkata pembubaran parlimen dan DUN juga bergantung pada perkenan Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri.

zahid hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata jentera Barisan Nasional kini bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor bergantung sepenuhnya kepada situasi politik semasa dan perkenan Raja-Raja serta Yang Dipertua Negeri, kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

“Bagi saya perkara ini tertakluk kepada persetujuan Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama atas nasihat menteri besar atau ketua menteri yang mempunyai kuasa untuk pembubaran, selain soal ‘timing’ dan kesesuaian waktu,” katanya lapor Bernama.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pihaknya juga melihat dana diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggadakan pilihan raya secara berasingan.

“Kosnya terlalu tinggi (pilihan raya berasingan) dan kalau diadakan serentak pun kos yang sama dibelanjakan,” katanya.

Mengulas persiapan Umno dan Barisan Nasional (BN), Zahid berkata jentera parti itu kini bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu selesa, kerana sokongan daripada ahli Umno dan parti komponen sahaja tidak menjamin kemenangan mutlak.

DUN Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 27 Dis ini, manakala Johor pada 21 April tahun depan, dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Ini bermakna PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Februari 2027, manakala Johor sekitar Jun 2027, sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.

Penggal Parlimen ketika ini dijadual tamat pada Disember 2027 dan PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin dan gesaan supaya parlimen dibubar lebih awal supaya PRU16 dapat diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.