
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun juga akan dibincangkan.
Menurutnya, turut akan dibincangkan bersama Biro Politik PH ialah beberapa perkara membabitkan soal dasar dan pendirian kedua-dua parti dalam krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu terkait dengan soal dasar dan juga pendirian parti masing-masing. Jadi, saya rasa kita kembali kepada perjanjian persefahaman membentuk kerajaan perpaduan.
“Melaluinya, apabila berlaku salah faham atau perselisihan, maka kita ada medan kita, iaitu Majlis Perundingan Pimpinan. Minggu depan ini kita akan bertemu.
“Banyak aspek perlu dilihat dalam isu berkenaan kerana ia bukan hanya membabitkan soal individu, namun juga kedaulatan institusi raja dan juga adat,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, mereka rela menjadi pembangkang daripada bersama PH dalam pentadbiran kerajaan negeri itu kerana tidak mahu terpalit kesalahan dilakukan Aminuddin, terkait krisis adat dan Perlembagaan negeri.