Pemuda PKR N Sembilan kecam Umno gesa usul undi tak percaya

Pemuda PKR N Sembilan kecam Umno gesa usul undi tak percaya

Ketuanya Hamizan Bahtiar berkata gesaan itu tidak bertanggungjawab kerana boleh gugat kestabilan di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan PKR Youth chief Hamizan Bahtiar
Ketua Pemuda PKR Negeri Sembilan Hamizan Bahtiar berkata gesaan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah satu percubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang. (Gambar PKR)
PETALING JAYA:
Pemuda PKR Negeri Sembilan mengecam Ketua Umno negeri itu, Jalaluddin Alias kerana mendesak sidang DUN dipanggil bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Ketuanya Hamizan Bahtiar menyifatkan gesaan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah satu percubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang, lapor Sinar Harian.

Hamizan berkata tindakan Adun Pertang itu adalah gerakan politik oportunis yang langsung tidak menghormati semangat kerajaan perpaduan, walaupun beliau berselindung di sebalik alasan perundangan.

“Tindakan ini juga hanyalah menyerlahkan lagi sikap Umno Negeri Sembilan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang telah bertitah agar menteri besar terus mengalas tugas seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, gesaan itu juga bercanggah secara terbuka dengan pendirian kepimpinan Umno pusat yang sebelum ini menegaskan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan politik walaupun Adun parti itu menarik sokongan terhadap menteri besar.

Hamizan berkata kenyataan Jalaluddin itu juga menunjukkan wujudnya krisis kejujuran dan ketidakselarasan dalam kepimpinan Umno Negeri Sembilan.

Katanya, ia juga menunjukkan bahawa Umno dan Perikatan Nasional (PN) berniat merampas kuasa tanpa mandat rakyat yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri itu.

Selepas 14 Adun Umno mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, PN Negeri Sembilan mengumumkan lima Adun akan menyokong Umno untuk memperoleh majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

Jalaluddin, yang sebelum ini merupakan exco kanan negeri, berkata keputusan Adun tersebut berkait dengan krisis berterusan melibatkan empat undang luak yang berusaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar.

Beliau berkata satu surat dihantar kepada speaker DUN bagi memanggil sidang khas untuk menyelesaikan krisis politik itu.

Malam tadi, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata pembentangan undi percaya merupakan satu kaedah yang boleh diterima untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.