Hubungan dengan Umno, strategi PRU bakal jadi tumpuan Konvensyen PH

Hubungan dengan Umno, strategi PRU bakal jadi tumpuan Konvensyen PH

Konvensyen pertama PH dalam tempoh empat tahun itu diadakan dalam tempoh kritikal ketika ia berdepan tekanan termasuk hubungan dengan Umno.

tawaran harapan anwar ibrahim 2022
Kali terakhir Pakatan Harapan mengadakan konvensyen adalah pada 2022, sebelum pilihan raya umum yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan ketika ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Konvensyen Pakatan Harapan (PH) minggu ini dijangka berlangsung dalam suasana penuh ketidakpastian terhadap hala tuju politik gabungan itu, selain spekulasi mengenai PRU mengejut, ketika ketegangan berhubung agenda reformasi, hubungan dengan Umno dan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen terus memuncak.

Penganalisis politik Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata konvensyen pada 17 Mei itu dijangka memberi tumpuan besar terhadap masa depan gabungan berkenaan dan strateginya bagi PRU16.

Syaza berkata keputusan terbesar pada konvensyen itu adalah mengenai hubungan PH dengan Umno dan PH mungkin mengambil pendekatan pragmatik dengan membenarkan Barisan Nasional (BN) bertanding solo.

Beliau memberitahu FMT bahawa isu itu menjadi semakin ketara susulan krisis politik Negeri Sembilan yang mendedahkan rapuhnya hubungan PH-Umno walaupun kedua-dua parti menjadi rakan sejak akhir 2022.

Katanya, konvensyen itu juga berlangsung menjelang kongres DAP pada Julai, ketika parti itu berdepan tekanan daripada penyokong untuk lebih agresif dalam melaksanakan reformasi.

“Pengerusi PH, Anwar Ibrahim akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan DAP kekal dalam gabungan,” katanya. “PH dengan hanya PKR dan Amanah sebenarnya hanyalah PKR dan PKR kini berada pada tahap rendah.”

Kongres DAP pada 12 Julai akan menentukan sama ada pemimpin parti perlu meletakkan jawatan kerajaan mereka sambil terus menyokong kerajaan Anwar di Dewan Rakyat.

Konvensyen PH yang akan diadakan di Johor Bahru itu merupakan yang pertama dalam tempoh empat tahun; kali terakhir ia diadakan sebelum PRU 2022 yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

PH perlukan semua dalam ‘Team Anwar’

Sivamurugan menjangka konvensyen itu akan menilai persiapan PH menghadapi PRU16 dan pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di Melaka, Sarawak dan Johor.

Katanya, ia khususnya akan mengukur tahap perpaduan dalam PH terutama selepas pemilihan parti PKR yang penuh kontroversi pada April tahun lalu, yang mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam parti.

Dalam pemilihan PKR itu, anak Anwar, Nurul Izzah Anwar, menewaskan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden parti, yang sejak itu menjadi pengkritik lantang kerajaan dan parti.

“Konvensyen itu perlu meneliti pertelagahan dalam gabungan supaya apabila Parlimen dibubarkan dan PRN diadakan, kesemua mereka kekal di bawah ‘Team Anwar’,” katanya.

Rafizi dan beberapa individu yang sehaluan dengannya telah memberi bayangan untuk bertanding menggunakan lambang lain apabila PRU16 diadakan.

Jika Umno bergerak solo

Sementara itu, satu sumber PH berkata pemimpin gabungan juga dijangka membincangkan kemungkinan senario pilihan raya sekiranya Umno memutuskan untuk bergerak solo pada PRU16 atau menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Sumber itu berkata pemimpin juga dijangka menyentuh rasa tidak puas hati dalam DAP dan sama ada PRU16 mengejut sesuai diadakan dalam beberapa bulan akan datang.

“Ia berkemungkinan tertumpu kepada Umno, masa PRN dan umum, serta bagaimana menjenamakan semula PH sebagai satu barisan yang kuat,” katanya.

PRU16 dijadualkan diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, namun spekulasi terus bertiup bahawa Anwar akan mengadakan pilihan raya awal, mungkin pada separuh kedua 2026, bagi menyelaraskannya dengan PRN Melaka dan Johor.

Walaupun sebelum ini mendesak supaya kerjasama kerajaan perpaduan diteruskan pada PRU16, BN kini mengubah pendirian dan menyatakan hasrat untuk bergerak solo pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu mungkin akan mencapai persefahaman dengan ‘parti lain’ bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.