5 Adun lantikan akan jadi langkah sandaran BN Johor, kata penganalisis

5 Adun lantikan akan jadi langkah sandaran BN Johor, kata penganalisis

Adun lantikan dapat mengukuhkan sokongan BN, tetapi penganalisis berpendapat langkah itu menimbulkan kebimbangan terhadap akauntabiliti demokratik.

dun johor
Dewan Undangan Negeri Johor meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk pelantikan lima Adun lantikan, menjadikan jumlah wakil rakyat meningkat kepada 61 orang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat, tindakan kerajaan Johor memperkenalkan Adun lantikan akan menjadi langkah sandaran untuk Barisan Nasional (BN) mengukuhkan sokongannya, jika ia tersungkur dalam PRN akan datang.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, langkah itu merupakan tanda kerapuhan politik gabungan di Johor, khasnya dalam hubungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

Azmil dan perunding bebas dari Asia Group, Asrul Hadi Abdullah Sani, berkata ia akan memanfaatkan BN yang mempunyai kuasa penuh untuk menentukan siapa akan dilantik sebagai Adun lantikan.

BN menguasai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 wakil rakyat, selepas memenangi 40 kerusi pada PRN 2022, disusuli PH (12), Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).

Khamis lalu, DUN Johor meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk pelantikan lima Adun lantikan, menjadikan jumlah wakil rakyat meningkat kepada 61 orang, walaupun mendapat tentangan DAP dan PKR serta kumpulan masyarakat sivil.

Johor ialah negeri keempat mempunyai Adun lantikan selepas Sabah, Terengganu dan Pahang.

Asrul berkata, Adun lantikan akan memberi BN lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan pakatannya dan tekanan politik kerana mereka dibenarkan mengundi rang undang-undang dalam DUN.

“Mekanisme ini boleh memberi ruang tambahan untuk mengukuhkan kawalan tanpa bergantung kepada (bilangan kerusi yang dimenanginya dalam) pilihan raya semata-mata.”

Beliau berkata, parti lebih kecil juga boleh mendapat manfaat, jika BN menggunakan lima kerusi lantikan itu untuk menampung sekutu lemah dalam pilihan raya, tetapi berguna dari segi politik.

Tetapi, Azmil menolak hujah Adun lantikan dapat menambah baik tadbir urus atau penyampaian perkhidmatan, sebaliknya mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan cara lebih baik untuk memperkasakan komuniti.

“Menambah jumlah Adun, khasnya melalui lantikan, tidak menambah baik tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam kerana Adun ini tidak berkhidmat untuk mana-mana kawasan tertentu, yang juga bermakna mereka tidak bertanggungjawab kepada rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.