Ilusi pemerintahan bersama dalam kalangan pemegang amanah

Ilusi pemerintahan bersama dalam kalangan pemegang amanah

Negeri Sembilan mesti melangkah ke hadapan dengan menghormati sempadan jelas ditetapkan undang-undang dan adat.

istana seri menanti

Kebelakangan ini telah menyaksikan kemunculan naratif yang berbahaya dan amat cacat dari segi konsep: iaitu konon para ketua Luak berada pada kedudukan sama taraf dengan raja Melayu. Ini bukan sekadar salah faham terhadap adat (un-Adat); malah ia merupakan satu kesilapan besar dari sudut undang-undang dan sejarah.

Memberi gambaran bahawa seorang ketua Luak adalah ‘rakan pemerintah’ (co-ruler) dalam konteks kedaulatan raja-raja Melayu adalah satu tindakan mengundang krisis Perlembagaan negara. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada Negeri Sembilan, malah menjejaskan kesucian Majlis Raja-raja Melayu seluruhnya.

Pemerintah berdaulat vs rakyat biasa

Kita perlu kembali kepada prinsip asas. Dalam Kesultanan Melayu dan Perlembagaan Malaysia, kedaulatan terletak pada raja-raja Melayu. Para ketua Luak, walaupun memegang jawatan yang penuh prestij dan menerima pelbagai keistimewaan daripada kerajaan Negeri Sembilan, dari segi nasab dan takrifannya adalah rakyat biasa (rakyat).

Dalam realiti mana seorang rakyat biasa boleh disamatarafkan dengan raja Melayu yang berdaulat? Di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, raja Melayu adalah ketua negeri yang berdaulat bagi sesebuah negeri. Pastinya hanya ada satu ketua negeri.

Jika mitos ‘rakan pemerintah’ ini diterima, secara tidak langsung ia memberi gambaran seorang ketua Luak boleh menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah mustahil dari segi undang-undang. Perlembagaan Persekutuan sangat jelas: jawatan Yang di-Pertuan Agong dikhaskan secara eksklusif untuk sembilan raja-raja Melayu. Menyamatarafkan kedua-duanya adalah tindakan menabur benih kekeliruan yang mengancam hierarki sistem beraja negara.

Ketua Luak sebagai ‘pemegang amanah’

Jadi, apakah sebenarnya peranan seorang ketua Luak? Beliau adalah ketua bagi sesebuah Luak. Dalam semangat demokrasi Adat Perpatih, beliau bertindak sebagai pemegang amanah bagi Luaknya. Beliau adalah wadah untuk suara Luak didengar, terutama semasa pemilihan Yang di-Pertuan Besar.

Secara hakikatnya, kuasa seorang ketua Luak bukanlah kuasa mutlak; ia adalah kuasa yang diwakilkan. Beliau tidak memiliki kuasa peribadi yang mutlak. Kuasanya bersifat terbitan; ia wujud semata-mata atas dasar kepercayaan (amanah) yang diletakkan kepadanya oleh Luak tersebut. Beliau adalah penjaga tradisi, bukannya sumber kedaulatan yang mutlak. Apabila amanah itu dikhianati atau terhakis oleh ahli Luaknya sendiri, ketua Luak tersebut menjadi seperti ‘bateri kong’—yang telah hilang kuasa fungsinya.

Hubungan kedaulatan, bukan hubungan setaraf

Perkara ini mesti dinyatakan dengan jelas: ini bukanlah hubungan antara rakan setaraf. Struktur negeri kita dibina atas hubungan antara seorang raja Melayu dan rakyatnya. Tidak ada istilah ‘berkongsi’ kedudukan dalam hal ini. Jika ada mana-mana ketua Luak yang meyakini ilusi bahawa raja Melayu adalah rakan setarafnya, maka Luak beliau disarankan untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menghentikan kepercayaan karut ini serta-merta. Bagi menjaga maruah Luak, Luak itu sendiri harus bertindak menarik balik kepercayaan mereka dengan serta-merta, kerana salah faham yang sebegitu besar terhadap kedudukan sebenar ini membuktikan seseorang pemimpin itu tidak lagi layak untuk memegang amanah bagi Luak tersebut.

Asas kuasa: Amanah vs perlembagaan

Oleh itu, terdapat perbezaan ketara dalam sumber kuasa antara kedua-dua institusi ini.

Ketua Luak beroperasi atas dasar kepercayaan Luak. Jika Ibu Soko dan Luak beliau sendiri (waris) menarik balik sokongan mereka, maka lenyaplah mandat ketua Luak tersebut.

Ini sudah tentu sangat berbeza dengan raja Melayu. Walaupun kuasa raja berperlembagaan masih menurut batasan undang-undang, namun kedudukan baginda adalah terjamin dan dilindungi sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan dan negeri. Kedaulatan baginda diperuntukkan dalam kerangka undang-undang negara, bukannya tertakluk kepada kemelut atau pertikaian Luak.

Paradoks pemegang amanah yang ‘derhaka’

Adalah satu percanggahan yang sangat mengejutkan apabila melihat seorang ketua Luak—yang sudah pun kehilangan kepercayaan Luaknya sendiri—cuba menggunakan hujah status ‘rakan pemerintah’ bagi menghalalkan cubaan menjatuhkan seorang raja Melayu.

Cubaan sebegitu secara menyalahi undang-undang, demi menjatuhkan raja Melayu yang dilindungi oleh perlembagaan, bukanlah satu pelaksanaan hak adat; bahkan ia adalah satu cubaan yang tidak berpijak di bumi nyata sedangkan kuasa tersebut tiada pada seseorang ketua Luak itu. Bagaimana seseorang boleh mendabik dada tentang ‘kuasa bersama’ sedangkan mereka telah gagal dalam tugas utama sebagai pemegang amanah? Apabila seorang pemegang amanah bertindak menjejaskan kestabilan negeri, beliau tidak mengangkat dirinya sama taraf ke tahap seorang raja; malah beliau hanya membuktikan bahawa beliau tidak lagi layak untuk memimpin Luaknya sendiri.

Sudah tiba masa untuk melenyapkan ilusi ini. Para ketua Luak adalah tiang-tiang kepada Luak, tetapi raja Melayu adalah bumbung kepada alam (negeri). Tiang yang cuba menongkah langit melepasi bumbung hanya akan meruntuhkan seluruh rumah. Negeri Sembilan mesti melangkah ke hadapan dengan menghormati sempadan jelas yang ditetapkan oleh undang-undang dan adat: para ketua Luak mesti kembali menjadi pemegang amanah yang setia kepada Luak mereka, dan kedaulatan Yang di-Pertuan Besar—sebagai ketua negeri yang tunggal adalah kekal tidak tercabar.

Mitos ‘rakan pemerintah’ ini adalah sangat sumbang. Sudah tiba masa kita menguburkannya sebelum ia mengundang aib berpanjangan kepada Negeri Sembilan.

 

Anak Negeri ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.