DHPP sandaran PAS kerana Gerakan kian tak relevan, kata penganalisis

DHPP sandaran PAS kerana Gerakan kian tak relevan, kata penganalisis

Azmil Tayeb berkata PAS sedar Gerakan tidak lagi mampu menarik sokongan pengundi bukan Melayu bagi mengukuhkan kedudukan PN.

DHPP pas
Dewan Himpunan Pendukung PAS diangkat menjadi sayap bersekutu pada September tahun lalu sekali gus memberikannya kedudukan setara Ulama, Wanita dan Pemuda. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS beralih memperkasakan sayap bukan Islamnya sendiri selepas menyedari Gerakan tidak lagi mampu menarik sokongan pengundi bukan Melayu, kata penganalisis.
Azmil Tayeb.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, PAS dilihat tidak lagi boleh mengharapkan Gerakan untuk meraih undi golongan terbabit bagi mengukuhkan kedudukan Perikatan Nasional (PN).

“PAS melihat ada trend dalam kalangan pengundi India yang tidak senang dengan Pakatan Harapan dan mengundi PN dalam beberapa PRK baru-baru ini.

“Gerakan menjadi semakin tidak relevan dalam PN kerana tidak mampu bersaing dengan DAP, MCA dan MIC untuk menarik undi bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

Pada 11 Mei lalu, FMT melaporkan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) G Balachandran berkata pengiktirafannya sebagai sayap bersekutu rasmi perlu dimanfaatkan bagi menghilangkan ketakutan masyarakat bukan Melayu terhadap parti itu mahupun PN.

Katanya, sayap itu perlu diperkasa bukan sekadar sebagai platform sokongan politik tetapi jambatan perpaduan nasional dan ruang membina kefahaman lebih matang.

DHPP diangkat menjadi sayap bersekutu pada September tahun lalu sekali gus memberikannya kedudukan setara sayap Ulama, Wanita dan Pemuda.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, langkah PAS menonjolkan DHPP adalah tindakan pragmatik memandangkan sayap tersebut memang sedia wujud untuk kepentingan parti.

Beliau berkata, penggunaan DHPP bukanlah isyarat PAS sudah hilang kepercayaan sepenuhnya kepada Gerakan, namun mengakui parti pimpinan Dominic Lau itu kurang relevan dalam PN sejak awal lagi.

“DHPP mungkin lebih relevan berbanding Gerakan kerana ia membawa jenama PAS yang lebih besar dalam PN. Saya tidak rasa Gerakan akan memberi sokongan penuh kepada agenda PAS kerana mereka adalah parti yang berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, Syaza memberi amaran kehadiran pelbagai sayap bukan Islam dalam PN termasuk ahli bersekutu Bersatu (MIPP) boleh mengundang masalah jika tidak diurus dengan baik.

“Jika tidak dibezakan (kawasan tumpuan), ia akan menjadi masalah dalam pemilihan kerusi. Jika Gerakan ditumpukan di kawasan bandar sebagai contoh, mungkin tidak ada masalah besar.

“Memandangkan sasaran mereka adalah satu Malaysia, saya rasa kerusi adalah cukup untuk semua bertanding, cuma soalnya sama ada mereka mampu menang atau tidak,”katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.