PN bincang calon ketua pembangkang Sabtu ini, kata Tuan Ibrahim

PN bincang calon ketua pembangkang Sabtu ini, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS itu berkata mesyuarat MT PN akan buat beberapa keputusan penting termasuk berkaitan struktur pembangkang di Parlimen.

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin dikatakan telah melepaskan jawatan ketua pembangkang disandangnya sejak 2022, iaitu selepas PRU15.
PETALING JAYA:
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) Sabtu ini akan membincangkan calon pengganti ketua pembangkang yang menjadi ‘duri dalam daging’ bagi komponen itu kebelakangan ini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beberapa keputusan penting termasuk berkaitan struktur pembangkang di Parlimen akan dibuat pada mesyuarat itu, lapor Utusan Malaysia.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku penyusunan semula kedudukan tempat Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

“Kita telah pun maklum lebih awal bahawa jawatan ketua pembangkang telah dikosongkan dan surat rasmi juga telah dihantar kepada Speaker (Johari Abdul).

“Cuma buat masa ini kita belum menamakan pengganti sebab sidang Dewan Rakyat bermula bulan depan.

“Insya-Allah menjelang sidang itu kita namakan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berbeza pendapat berhubung jawatan ketua pembangkang.

Hadi dilaporkan berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini, iaitu selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti komponen.

Bagaimanapun, Muhyiddin pula berpandangan tidak perlu menunggu sehingga itu dan menegaskan kelewatannya boleh menjejaskan maruah serta imej PN di mata rakyat.

Merujuk kepada Hamzah Zainudin yang tanpa parti selepas dipecat Bersatu, Februari lalu, Muhyiddin juga berkata, tidak wajar orang yang tidak layak masih berlegar-legar menggunakan kedudukan sebagai ketua pembangkang.

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata ketua pembangkang baharu yang dipersetujui dari PAS akan dibuat pada penghujung Mac lalu namun tiada sebarang pengumuman mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.