Usah tunggu Bersatu ‘reput’, PAS boleh keluar PN secara ‘bermaruah’, kata penganalisis

Usah tunggu Bersatu ‘reput’, PAS boleh keluar PN secara ‘bermaruah’, kata penganalisis

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata PAS boleh menjadi parti dominan yang bebas daripada kemelut dalaman Bersatu, jika keluar PN.

pas
Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, PAS boleh menjalin kerjasama politik baharu dengan imej lebih bersih dan stabil selepas meninggalkan PN.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berpendapat PAS boleh meninggalkan Perikatan Nasional (PN) secara “bermaruah” untuk membuktikan prinsip lebih penting daripada kuasa dan menjadi parti dominan yang bebas daripada kemelut dalaman Bersatu.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, langkah itu juga akan membuka ruang kepada PAS untuk menjalin kerjasama politik baharu dengan imej lebih bersih dan stabil.

“PAS tidak perlu menunggu Bersatu yang sedang reput. Keluar PN secara bermaruah akan membuktikan prinsip lebih utama daripada kuasa.

“Keluar PN juga memberi ruang kepada PAS untuk merundingkan pakatan baharu, sama ada dengan parti Islam lain atau blok politik lebih stabil,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PN akan kehilangan kekuatannya jika PAS meninggalkan gabungan itu.

“PN akan lumpuh serta-merta. Bersatu yang sudah hilang kredibiliti akan tenggelam tanpa sokongan PAS.”

Kelmarin, Adun Sura Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyarankan Bersatu meninggalkan PN susulan beberapa siri pemecatan serta penggantungan yang disifatkannya “penyembelihan” dan mendakwa ia kini “parti yang sudah tiada roh”.

Bagaimanapun semalam beliau berkata kenyataan itu adalah pandangan peribadi bukan mewakili PAS.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bagaimanapun berkata, saranan Tengku Muhammad Fakhruddin untuk Bersatu keluar PN lebih kepada sindiran politik berbanding cadangan strategik.

“Saranan itu acah-acah saja sebab ia tak ada logik dan tak ada kekuatannya.

“Alasan Bersatu memecat ahlinya dan sebab itu sepatutnya keluar PN, ianya tak ada kaitan, jadi saranan dia tak kukuh. Kalau dinyatakan Bersatu melemahkan PN dan sepatutnya keluar, maka ada logiknya.”

Ini kerana, jelasnya, isu pemecatan dan penggantungan ahli adalah urusan dalaman parti, bukannya faktor utama menentukan kedudukan sesebuah parti dalam gabungan politik.

Beliau berkata, wakil rakyat PAS itu sepatutnya menyarankan partinya keluar PN atas alasan gabungan terbabit menjadi lemah akibat kemelut Bersatu.

Bersatu melancarkan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli sejak 8 Mei lalu atas alasan melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli, rentetan kemelut dalaman yang menyaksikan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin dipecat Februari lalu.

Antara yang dipecat termasuk Dzowahir Ab Ghani (Adun Suka Menanti), Abdul Razak Khamis (Adun Sungai Tiang, Farid Zawawi (Adun Kok Lanas), Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad dan Exco Pemuda Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.

Ahli Parlimen digantung adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Khalib Abdullah (Rompin) dan Islahuddin Abas (Mersing).

Turut digantung Adun seperti Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Almidi Jaafar (Bukit Bunga).

Sebelum ini, dalam apa yang dikatakan pusingan pertama ‘pembersihan’, 16 pemimpin dipecat termasuk Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik) serta Adun Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Dr Yadzil Yaakub (Bemban).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.