Puad akui ramai mahu MN tapi realiti politik sukar satukan Umno-PAS

Puad akui ramai mahu MN tapi realiti politik sukar satukan Umno-PAS

Ahli MKT Puad Zarkashi berkata krisis kepercayaan antara kedua-dua parti masih penghalang utama.

puad zarkashi n shahidan kassim
Puad Zarkashi berkata kenyataan Shahidan Kassim masih ramai mengharapkan semangat Muafakat Nasional adalah benar.
PETALING JAYA:
Walaupun masih ramai akar umbi mahu PAS dan Umno kembali bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), realiti politik semasa dilihat menyukarkan usaha itu, kata Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mengakui dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Shahidan Kassim masih ramai mengharapkan semangat MN dihidupkan semula adalah benar.

Katanya, ahli Umno juga akan menyokong jika terdapat usaha ke arah penyatuan semula itu.

“Kenyataan Shahidan itu betul. Ramai ahli akar umbi mahu MN dihidupkan semula jika terdapat usaha ke arah tersebut,” katanya kepada FMT.

Semalam, Shahidan yang juga bekas pemimpin Umno turut mengimbau pemeteraian Piagam MN pada 2019 yang menurutnya melambangkan kesyukuran serta harapan terhadap penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, sebelum ini berkata partinya hanya mungkin mempertimbangkan kerjasama semula dengan PAS jika parti Islam itu menghilangkan ‘DNA khianat’, merujuk kegagalan MN selepas PAS bersama Bersatu membentuk Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut, Puad berkata usaha itu sukar dilaksanakan kerana Umno sudah hilang kepercayaan terhadap PAS susulan pengalaman kerjasama sebelum ini yang lebih mementingkan kepentingan politik dan tidak mahu parti lain menjadi dominan.

“PAS ada sifat iri hati dan tidak mahu ada parti yang ke depan atau dominan daripada PAS.

“PAS juga ada rekod kurang baik dalam kerjasama politik, termasuk pernah meninggalkan Barisan Nasional (BN), Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata idea penyatuan semula PAS dan Umno lebih bersifat nostalgia politik berbanding penyelesaian sebenar kepada masalah masyarakat Melayu.

Katanya, pengundi Melayu terutama generasi muda kini lebih kritikal menilai integriti, prestasi pentadbiran, dan peluang ekonomi berbanding sekadar slogan agama atau bangsa.

Katanya, penyatuan semula PAS dan Umno juga tidak semestinya menguntungkan kedua-dua parti kerana PAS kini berada dalam kedudukan lebih dominan dalam Perikatan Nasional.

“PAS kini mempunyai pengaruh semakin meluas terutama di negeri utara dan pantai timur, sekali gus menjadikan kerjasama semula dengan Umno tidak lagi dilihat sebagai keperluan politik mendesak.

“Penyatuan tanpa reformasi hanya akan melahirkan gabungan besar yang sibuk berebut jawatan, bukan membela rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.