
Rafizi berkata serangan bekas Ahli Parlimen Damansara itu mencerminkan pertembungan antara dua kumpulan dalam DAP, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata kumpulan minioriti yang dianggotai Pua mahu melihat kerajaan perpaduan tumbang, manakala kumpulan arus perdana parti itu yang dipimpin Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook mahu memastikan kerajaan terus diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Dan reaksi DAP tu sangat bertentangan, yang melambangkan pandangan daripada dua kumpulan bertentangan dalam DAP.
“Sebenarnya ia kena baca dengan lebih mendalam yang tersirat dan yang tersurat,” kata bekas timbalan presiden PKR itu dalam audio siar Explain Sikit yang disiarkan petang tadi.
Pua sebelum ini berkata walaupun Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhak menentukan haluan sendiri, Ahli Parlimen lain yang bercadang bertanding pada PRU akan datang menggunakan tiket parti lain walaupun dipilih sebagai wakil PKR sepatutnya mengosongkan kerusi mereka sekarang.
Rafizi turut membandingkan kenyataan terdahulu Loke bahawa beliau dan Nik Nazmi sepatutnya menunggu sehingga tamat penggal sebagai ahli Parlimen sebelum menyertai gerakan baharu, berbeza dengan kecaman Pua terhadap mereka yang enggan mengikut jejak langkah kedua-dua pemimpin itu mengosongkan kerusi.
“Jadi ini sebenarnya factional fight di dalam DAP. Janganlah babitkan kami,” katanya.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan mereka akan mengambil alih Bersama bagi menentukan hala tuju politik baharu untuk diri mereka dan penyokong masing-masing.
Mereka juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa serta keluar daripada PKR.
Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi membuat keputusan mengosongkan kerusi sebagai menghormati proses demokrasi kerana mereka dipilih menggunakan tiket PKR, selain mahu mengekalkan kestabilan kerajaan semasa.
Dia berkata jika semua ahli Parlimen yang berpihak kepadanya meletakkan jawatan daripada PKR dan mengosongkan kerusi, ia boleh mencetuskan situasi ‘tebuk atap’.