
Menurutnya, ramai dalam kumpulan berpendapatan T15 atau T20 adalah pemilik perniagaan, dan kenaikan kos pengangkutan serta operasi biasanya dipindahkan kepada pengguna.
Timbalan ketua Wanita DAP itu berkata, ini boleh mencetuskan gelombang inflasi sekunder untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan yang akan menjejaskan rakyat Malaysia berpendapatan rendah.
Bekas menteri persekutuan itu turut menyuarakan kebimbangan penghapusan subsidi minyak untuk golongan kaya akan menjejaskan penggunaan domestik, sekali gus menjejaskan ekonomi negara.
“T15 atau T20 merupakan pemacu utama bagi penggunaan swasta domestik. Dengan kenaikan mendadak bil bahan api mereka, kerajaan berisiko menyekat permintaan dalam sektor runcit, hospitaliti dan perkhidmatan.
“Gabungan inflasi lebih tinggi dan penggunaan domestik semakin susut akan memburukkan lagi prospek ekonomi yang sedia terbeban akibat konflik berterusan di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, beliau tidak menentang penghapusan subsidi bahan api untuk golongan kaya, tetapi isu lebih besar ialah masa pelaksanaannya susulan kesan ekonomi akibat krisis tenaga global.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme apa yang akan digunakan kerajaan untuk menghapuskan subsidi bahan api untuk golongan kaya, sama ada melalui MyKad atau penetapan harga berperingkat.
“Pada pandangan saya, masa paling tidak sesuai untuk menghapuskan sebarang subsidi ialah ketika krisis berlaku, apabila dasar fiskal mengembang — bukan menguncup — diperlukan untuk mengekalkan ekonomi.
“Penghapusan subsidi RON95 mempunyai implikasi struktur besar dan tidak boleh dilakukan tergesa-gesa. Putrajaya perlu membuktikan dengan data, langkah ini tidak akan mencetuskan lingkaran inflasi atau kerugian ekonomi bersih sebelum meminta rakyat menanggung beban ini.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memuktamadkan cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi secepat mungkin.
Katanya, ini tertakluk kepada kajian berterusan untuk menentukan kumpulan pendapatan tertentu yang akan terjejas supaya inisiatif ini tidak membebankan kumpulan pendapatan pertengahan atas.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, perbincangan turut membabitkan sama ada subsidi itu perlu dihapuskan kumpulan T5, T10, T15 atau T20.
Ketika ini, RON95 disubsidi pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia mempunyai lesen memandu sah, dihadkan 200 liter sebulan. Di Malaysia Timur, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter berbanding RM5.17 seliter di Semenanjung Malaysia.