
Ketua Polis Baling Brandon Richard Joe berkata, polis menahan warga asing berusia 34 tahun itu susulan laporan yang dibuat oleh seorang peniaga berusia 57 tahun dari Selangor, yang mendakwa kuota subsidi BUDI95 miliknya telah hilang.
Beliau berkata, pengadu mendakwa menyedari perkara itu semasa berada di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam, kira-kira 4.48 petang, 8 April lepas, sebelum membuat semakan melalui aplikasi BUDI95.
“Hasil semakan mendapati terdapat transaksi pengisian minyak subsidi RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang, Baling,” katanya, lapor Bernama.
Siasatan lanjut mendapati berlaku enam transaksi pengisian minyak RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu membabitkan 309.038 liter minyak bernilai RM1,242.33, bermula 18 Mac hingga 8 April lepas.
Berikutan itu, Brandon berkata, warga Bangladesh yang juga juruwang stesen minyak itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Selain itu, katanya, polis turut mengesan seorang warga tempatan yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu.