
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana setiap tindakan diambil berdasarkan bukti, pertimbangan undang-undang dan keadaan kes.
Katanya, setiap kes dinilai secara berasingan termasuk mengambil kira keadaan kesihatan dan usia individu terlibat sebelum tindakan seperti reman dibuat.
“Kita tengok kes demi kes, seperti kes kemalangan itu, pemandu kereta berusia 72 tahun, mempunyai pelbagai penyakit dan sedang menjalani rawatan dialisis. Kalau direman, bagaimana dia hendak dapatkan rawatan? Sebab itu kita bagi jaminan.
“Kecuali kalau dia (suspek sesuatu kes) terlibat dalam kes bunuh, itu berbeza,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia.
Ayob Khan berkata, situasi itu berbeza daripada kes seorang pemandu van didakwa melanggar murid Tahun Dua hingga maut, yang direman tiga hari bagi membantu siasatan.
“Pemandu van itu sihat (dan) berusia 60 tahun. Kalau boleh reman, kita akan reman. Polis perlu gunakan pertimbangan,” katanya.
“Perkara sebegini kita akan jalankan siasatan lengkap dari sudut bukti, tahap kecederaan, aspek kesihatan dan sebagainya. Kita tidak berat sebelah atau pilih kasih.”
Ayob Khan berkata, walaupun suspek 72 tahun itu tidak direman, siasatan tetap diteruskan.
Tambahnya, polis bertindak profesional dan undang-undang tidak boleh hanya ditentukan berdasarkan persepsi masyarakat, sebaliknya perlu berasaskan fakta serta bukti yang jelas.
Sebelum ini, timbul pertikaian di media sosial apabila pemandu Proton X70 yang didakwa merempuh penunggang motosikal hingga maut dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan, manakala pemandu van itu ditahan reman.