
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad, berkata kes disiasat antaranya mengikut Akta Hasutan 1948.
“Sehingga hari ini, sebanyak 49 keterangan telah dirakam dan siasatan masih diteruskan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selain Akta Hasutan, kes juga disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Alzafny menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3R, khususnya di media sosial.
Krisis adat di Negeri Sembilan bermula Pada 17 April lalu, apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungai Ujong atas alasan melanggar adat dan hukum syarak.
Dua hari selepas itu, tiga undang termasuk Mubarak mengadakan sidang media khas mengumumkan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun, kerajaan negeri menolak pengisytiharan itu dengan menyatakan Mubarak sendiri telah pun dilucutkan daripada jawatannya pada tahun sebelumnya.
Krisis politik itu semakin memuncak selepas semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada 27 April, susulan krisis didakwa melibatkan institusi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.