Bekas polis dipenjara 5 tahun peras ugut guna video seks

Bekas polis dipenjara 5 tahun peras ugut guna video seks

Hakim Mahkamah Rayuan berkata, ini kes jelas penjawat awam salah guna kedudukan untuk takut-nakutkan orang awam demi kepentingan peribadi.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa hukuman penjara 3 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen ke atas Aman Mustapa tidak cermin tahap keseriusan kesalahan dilakukannya.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas koperal polis hari ini mula dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah memeras ugut RM300 daripada seorang lelaki, enam tahun lalu.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh, Aman Mustapa, 36, telah mengugut untuk mendedahkan hubungan seksual mangsa dengan tunangnya, yang dirakam secara senyap-senyap menggunakan telefon bimbit, melainkan wang itu dibayar.

Hakim Mahkamah Rayuan Noorin Badaruddin berkata, ini kes jelas memaparkan seorang penjawat awam menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya untuk menakut-nakutkan orang awam demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, Aman, sebagai anggota polis, telah diamanahkan di sisi-sisi undang-undang untuk melindungi orang awam dan menguatkuasakan undang-undang.

“Kesan perbuatan kamu juga telah menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi kerajaan,” katanya dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir Aman terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.

Hakim Azman Abdullah, yang mengetuai panel, dan Radzi Abdul Hamid turut bersidang mendengar rayuan tersebut.

Aman melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Selama di Perak antara 4.30 pagi dan 5.30 pagi pada 18 Jun 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, sebat, atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Tertuduh rancang peroleh lebih RM300

Noorin berkata, mahkamah juga mengambil kira bahawa Aman merancang untuk memeras ugut RM10,800 daripada mangsa dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen tidak mencerminkan tahap keseriusan kesalahan tersebut.

Menurutnya, Aman meletakkan syarat bahawa telefon bimbit itu hanya akan dipulangkan selepas pembayaran dibuat, sekali gus mengukuhkan kes pendakwaan bahawa terdapat unsur ugutan dan ancaman bagi tujuan pemerasan.

Kejadian berlaku pada kira-kira 12.40 tengah malam, 17 Jun 2020, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila mangsa yang sedang menunggang motosikal di Pekan Sungai Bayor, Selama, Perak, ditahan oleh Aman dan beberapa rakan sekerjanya.

Mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri pada ketika itu, lalu Aman memeriksa telefon bimbitnya dan menemukan video lucah yang memaparkan mangsa bersama seorang wanita.

Aman merampas peranti berkenaan dan mengarahkan mangsa mengikutinya ke Balai Polis Sungai Bayor. Pegawai polis itu kemudian menyimpan telefon bimbit mangsa dan memindahkan video tersebut ke dalam telefon bimbitnya sendiri.

Dia juga memanggil mangsa dan tunangnya, wanita yang dipaparkan di dalam video tersebut, ke pejabatnya pada awal pagi walaupun tiada laporan polis dibuat berhubung pemilikan video lucah di dalam telefon bimbit berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf tambil bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Ghazali Ismail mewakili perayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.