Lelaki beli arak guna kad debit dijumpai dijel 6 bulan, 1 sebatan

Lelaki beli arak guna kad debit dijumpai dijel 6 bulan, 1 sebatan

Ee Cha Seng mengaku salah guna kad debit dijumpainya untuk beli enam tin arak bernilai RM93.90 di sebuah kedai serbaneka.

mahkamah muar
Mahkamah Majistret Muar muar juga mengarahkan tertuduh Ee Cha Seng membayar denda RM1,000 bagi setiap tuduhan dan tambahan dua bulan penjara jika gagal bayar denda berkenaan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas banduan dihukum penjara enam bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas dua tuduhan menggunakan kad debit milik orang lain yang tercicir untuk membeli minuman keras.

Ee Cha Seng, 39, yang baru dua bulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran, lapor Berita Harian.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Ee didakwa dengan curang menyalahgunakan harta milik seorang lelaki di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ali di Muat, Johor, pada 2.19 dan 2.20 petang, 27 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Md Piah manakala tertuduh diwakili peguam Tee Xin Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman penjara tambahan dua bulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Menurut fakta kes, lelaki itu menggunakan kad debit yang dijumpainya untuk membeli enam tin minuman keras bernilai keseluruhan RM93.90 di sebuah kedai serbaneka.

Lelaki itu ditangkap selepas pemilik kad debit berkenaan menerima notifikasi penggunaan kad berkenaan di telefon bimbitnya sebelum membuat laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.