
Bagi tuduhan pertama, Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Muhammad Firdaus Zamri, 31, kerana menyebabkan kematian Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, 4, pada 6 petang di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong.
Sementara itu, bagi tuduhan kedua, Muhammad Firdaus dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan atas kesalahan mendatangkan cedera ke atas kanak-kanak itu menggunakan rotan pada waktu, hari dan lokasi yang sama.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 13 April lepas, lapor Bernama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Muhammad Firdaus yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Hafizuddin Abdul Haris memohon dikenakan hukuman penjara minimum memandangkan dia telah insaf dan menyesal atas kesalahan dilakukan.
Tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang selain perlu menyara kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad dengan nada sebak dalam hujahannya berkata, hukuman berat wajar dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran, dan keadilan perlu ditegakkan buat mangsa yang masih kecil dan tidak berdaya,.
Katanya, mangsa sepatutnya dilindungi oleh penjaga dan bukannya menjadi mangsa kepada pelakuan tidak berperikemanusiaan.
Hakim berkata, kepentingan awam merupakan faktor yang perlu diutamakan oleh mahkamah semasa menjatuhkan hukuman.
“Saya ambil kira mangsa masih kecil, diamanahkan kepada kamu untuk dijaga, tetapi didera secara perlahan-lahan sedikit demi sedikit sehingga meninggal dunia.
“Semua ini mencerminkan kesalahan kamu semata-mata dan kamu seorang sahaja terlibat dalam kes ini,” kata Mohd Zul Zakiqudin.
“Kamu telah khianat amanah untuk jaga anak kecil yang tidak berdosa ini. Kepentingan awam perlu mendahului kepentingan kamu sendiri.”