
Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Lua Mei Zhu, 24, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 27 Feb 2025.
Tertuduh menangis sebaik sahaja mahkamah menjatuhkan hukuman itu.
Lua mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkannya, dengan ketika tindakan menyebabkan kematian dilakukan, fikiran tertuduh berada dalam keadaan terganggu akibat melahirkan bayi tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di tingkat sembilan sebuah kondominium pada 1.30 tengah hari hingga 9 malam, 26 Feb 2025, mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 309B kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, pada 10.21 malam 26 Feb 2025, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang menemukan bayi dalam keadaan kepala pecah di beranda luar rumahnya di tingkat sembilan kondominium itu.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis pergi ke sebuah unit di tingkat 38 kondominium tersebut dan mendapati tertuduh berada di dalam bilik sebelum ditahan.
Siasatan mendapati bayi yang baru dilahirkan itu meninggal dunia akibat jatuh dari tempat tinggi sehingga menyebabkan pelbagai kecederaan.
Tertuduh juga didapati mencampak bayi yang baru dilahirkan melalui tingkap tandas unit berkenaan selepas melahirkan bayi itu.
Hasil siasatan turut mendapati tertuduh melakukan tindakan sedemikian kerana berada dalam keadaan panik selepas melahirkan.
Terdahulu, peguam Loke Kok Mun yang mewakili Lua berkata anak guamnya kesal atas perbuatan dilakukan dan dia juga telah direman selama setahun dua bulan.
“Kejadian itu berlaku akibat ketidakmatangannya dalam menangani situasi berlaku. Tertuduh tahu dirinya hamil di luar nikah pada trimester akhir, namun tidak mendapatkan pemeriksaan kerana takut akan stigma masyarakat.
“Dia berada dalam tekanan emosi. Dia juga takut memaklumkan perkara itu kepada keluarganya kerana bimbang menanggung malu memandangkan bapa bayi itu berlainan kaum dan agama,” katanya.
Loke turut memaklumkan anak guam mengalami kemurungan berpanjangan selepas berpisah dengan teman lelakinya dan telah mendapat rawatan psikiatri selama tiga bulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kesalahan itu serius.
“Satu nyawa telah terkorban. Seorang bayi yang tidak bersalah, yang tidak sempat hidup telah dicampakkan dari tempat tinggi,” katanya.
“Pada waktu itu, terdapat ahli keluarga lain di rumah. Oleh itu, tertuduh sebenarnya mempunyai pilihan lain, namun malangnya dia memilih jalan yang tragis itu. Saya mohon keadilan untuk bayi itu,” katanya.