
Pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Foo Wei Min berkata kumpulan pertama terdiri daripada 9,554 barang kemas telah diserahkan kepada firma guaman beliau, Messrs Azamuddin & Co pada 29 April 2022.
Menurutnya, kumpulan kedua yang merangkumi 2,431 barang kemas dipulangkan tidak lama selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak barang-barang tersebut pada penghujung tahun yang sama.
Foo turut memaklumkan keterangannya berdasarkan pengalaman lapan tahun dalam siasatan kes itu.
“Kes ini ibarat mimpi ngeri bagi saya. Saya masih perlu menjejaki Jho Low (Low Taek Jho),” katanya merujuk kepada kes 1MDB yang turut disiasatnya melibatkan Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, berhubung dakwaan peguam Rosmah bahawa pengendalian bahan bukti oleh Foo tidak mematuhi keperluan undang-undang.
Foo menjelaskan peguam negara telah mengeluarkan arahan supaya barang-barang tersebut dipulangkan kepada Rosmah dan suaminya, Najib.
“Sebentuk barang kemas (gelang) pula dipulangkan kepada wakil Global Royalty Trading SAL,” tambahnya.
Foo memberi keterangan bagi pihak polis, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan oleh Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah.
Dalam saman yang difailkan pada 2023 itu, Global Royalty menuntut pemulangan 43 barang kemas, atau sebagai alternatif bayaran sebanyak USD14.6 juta, iaitu nilai anggaran barang itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Quay Chew Soon akan bersambung esok.