Bank bertanggungjawab gagal pantau akaun pelanggan, kata mahkamah

Bank bertanggungjawab gagal pantau akaun pelanggan, kata mahkamah

Mahkamah Sesyen memerintahkan Maybank bayar RM166,000 jumlah kerugian dialami Chan Yan Li akibat transaksi tanpa kebenaran pada 2021.

mahkamah
Hakim Maimoonah Aid berkata, ada tanda jelas mengenai transaksi mencurigakan melibatkan akaun Chan Yan Li yang sepatutnya mencetuskan pemeriksaan lanjut Maybank.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen mengarahkan sebuah bank tempatan bertanggungjawab atas kecuaian dalam memantau akaun pelanggan sehingga menjurus kerugian RM166,000 akibat transaksi tanpa kebenaran.

Hakim Maimoonah Aid memberikan pampasan RM166,000 kepada Chan Yan Li selepas membenarkan tuntutan sivilnya terhadap Maybank. Beliau turut memerintahkan bank itu membayar kos RM50,000.

Chan memfailkan saman berkenaan pada 2022 selepas RM166,000 dipindah keluar dari akaun pinjamannya melalui siri transaksi, antara Jun dan Julai 2021.

Dia sebelum ini sudah mempunyai dua akaun bersama Maybank sejak 2000: akaun pinjaman perumahan dan akaun simpanan.

Pada 2021, sejumlah RM166,000 telah dipindahkan dari akaun pinjamannya ke dalam akaun simpanannya. Chan menyatakan bahawa beliau tidak menerima sebarang pesanan amaran SMS atau pemberitahuan bagi transaksi tersebut.

Dana berkenaan kemudiannya dipindah keluar dari akaunnya kepada individu tidak dikenali melalui beberapa transaksi. Pihak bank menegaskan bahawa pemberitahuan telah dihantar dan transaksi terbabit adalah sah.

Chan bagaimanapun membuat laporan polis berhubung insiden berlaku.

Mahkamah juga diberitahu bahawa tiga individu dikaitkan dengan keldai akaun akaun telah mengaku bersalah atas kesalahan melibatkan penyembunyian harta dan pemilikan barangan curi.

Dalam penghakimannya, Maimoonah mengambil maklum mengenai percanggahan rekod syarikat telekomunikasi dan laporan transaksi dikemukakan di mahkamah.

Katanya, tiada amaran SMS dihantar bagi transaksi tertentu, yang mana sebahagian daripadanya berlaku awal pagi.

“Plaintif (Chan) bukanlah seorang pengguna aktif aplikasi Maybank2U kerana dia hanya menggunakannya untuk membayar kad kredit atau mengirim wang kepada bapa mentuanya.

“Laporan defendan (Maybank) menyatakan bahawa dari 28 Jun hingga 2 Julai 2021, wang telah dipindah keluar daripada akaun plaintif,” katanya.

Maimoonah berkata, aktiviti akaun yang berlaku secara mengejut dalam tempoh berkenaan jelas menunjukkan transaksi mencurigakan, yang sepatutnya mencetuskan pemeriksaan lanjut.

Bank dianggap bertanggungjawab sebahagiannya jika ia ‘menutup mata terhadap fakta ketidakjujuran yang nyata’,” katanya.

Peguam K Revathi dan K Gunalan mewakili Chan, manakala Izzat Zainal bertindak bagi pihak Maybank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.