
Edmund Teoh, 40, didakwa memperdaya Kok supaya mempercayai hanya dua sekolah di kawasan Parlimennya yang memohon pembiayaan papan pintar interaktif, sedangkan sebanyak 16 buah sekolah sebenarnya telah mengemukakan permohonan.
Dia didakwa mendorong Kok untuk membenarkannya memproses permohonan itu melalui sistem MyKhas di bawah program Mesra Rakyat.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pusat khidmat Kok di Sri Desa Entrepreneurs Park, Kuchai Lama, pada Jun 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Teoh juga dituduh menerima RM500,000 daripada Ainuddin Aminuddin, 36, sebagai dorongan membantu mendapatkan kontrak pembekalan papan pintar bagi 16 sekolah di Seputeh melalui TMTIT Solutions, sebuah syarikat milik isteri Ainuddin.
Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di sebuah stesen minyak Shell di Kuchai Lama, pada 12 Ogos 2024.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1), membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Teoh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin mencadangkan ikat jamin RM150,000, berserta syarat termasuk penyerahan pasport Teoh, melaporkan diri setiap bulan kepada SPRM, dan larangan berhubung dengan saksi pendakwaan.
Namun, peguam bela MN Lo memohon jumlah ikat jamin lebih rendah sambil menyatakan penjamin Teoh hanya mampu membayar RM30,000.
Lo turut memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya bekerja dengan sebuah syarikat p-hailing dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan, serta telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak penyiasat.
Suzana kemudian menetapkan ikat jamin RM60,000 bersama syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan diwakili Vivien Yeap dan Fatin Farhana Ismail.