Baru Bian mohon batal saman bon RM10 juta, dakwa luar kuasa mahkamah

Baru Bian mohon batal saman bon RM10 juta, dakwa luar kuasa mahkamah

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata Mahkamah Tinggi Malaya adalah landasan sepatutnya kerana urusan parti di Petaling Jaya.

Baru Bian
Bekas Ahli Parlimen Selangau Baru Bian berkata Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes difailkan PKR terhadapnya berhubung dakwaan melanggar bon RM10 juta ditandatangani sebelum PRU14, memandangkan punca tindakan itu timbul di Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Bekas Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, salah seorang daripada enam bekas Ahli Parlimen PKR yang disaman parti itu kerana didakwa melanggar bon RM10 juta ditandatangani sebelum PRU14 pada 2018, telah memohon untuk membatalkan saman terhadapnya.

Baru berkata Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya kerana punca tindakan itu timbul di Sarawak.

Peguam berusia 68 tahun itu berkata beliau menandatangani bon tersebut di Kuching pada 25 April 2018, tiga hari sebelum memfailkan kertas pencalonannya untuk bertanding kerusi Selangau.

Beliau berkata penglibatannya dengan PKR hanya tertumpu di Sarawak, tempat ibu pejabat negeri parti itu terletak di Kuching.

Bekas menteri kerja raya dan ketua PKR Sarawak itu berkata dalam afidavit yang dilihat FMT, peguamnya menasihatinya bahawa punca tindakan itu tidak timbul di Semenanjung Malaysia, sebaliknya di Sarawak.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua Mahkamah Tinggi: satu bagi Sabah dan Sarawak, dan satu lagi bagi Malaya.

Baru berkata beliau dinasihatkan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap saman yang difailkan ke atasnya.

“Saya lazimnya menetap di Sarawak, di luar bidang kuasa wilayah Mahkamah Tinggi Malaya,” katanya dalam afidavit yang menyokong permohonannya.

Bagaimanapun, sebagai respons, Fuziah Salleh berkata punca tindakan itu berasal dari Malaya kerana ibu pejabat parti terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata urusan PKR ditadbir dari ibu pejabatnya dan keahlian Baru dalam parti itu juga diproses di sana.

Fuziah turut berkata bon itu dibincangkan di ibu pejabat pada 17 April 2018 semasa satu mesyuarat yang dihadiri Baru.

Dalam afidavitnya, beliau berkata pencalonan Baru bagi kerusi Selangau bukan semata-mata urusan Sarawak, sebaliknya ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.

Beliau juga menyatakan kementerian yang pernah diketuai Baru kemudian beroperasi di Semenanjung Malaysia dan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Fuziah menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidang kuasa terhadap pertikaian kontrak yang timbul daripada bon itu dan permohonan Baru tidak berasas.

Pengurusan kes di hadapan Hakim Roslan Mat Nor ditetapkan pada 25 Mei.

Dua bulan lalu, PKR menerusi Fuziah memfailkan saman terhadap Baru serta Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dan Edmund Santhara Kumar (Segamat), berhubung dakwaan peranan mereka dalam kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan pada 2020 susulan Langkah Sheraton.

Parti itu turut memfailkan saman serupa terhadap 10 Adun yang meninggalkan parti pada 2020.

Dalam pernyataan tuntutan berasingan, Fuziah berkata PKR menuntut RM10 juta daripada setiap defendan kerana melanggar bon yang ditandatangani sebelum PRU14 pada 2018.

Di bawah syarat bon itu, defendan dikehendaki membayar jumlah tersebut dalam tempoh tujuh hari jika mereka memenangi kerusi atas tiket PKR tetapi kemudian meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam PRU14, PKR memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN sebelum membentuk kerajaan persekutuan serta beberapa pentadbiran negeri.

Fuziah berkata sekitar 24 Feb 2020, diketahui umum bahawa setiap defendan tidak lagi menjadi ahli PKR selepas dipilih di bawah logo parti itu.

Beliau berkata defendan telah menyertai atau menyokong gabungan politik selain PH.

Keahlian mereka ditamatkan pada 11 Mac 2020 dan parti menuntut pematuhan terhadap bon itu tetapi tidak menerima sebarang respons.

Fuziah berkata PKR telah melaburkan sumber yang besar untuk membina jenamanya, membangunkan modal insan, mengenal pasti dan menyokong calon, menjalankan kempen nasional dan negeri, serta memastikan kejayaan pilihan raya.

Beliau menambah bahawa peletakan jawatan atau penjajaran semula defendan selepas pilihan raya telah mengubah majoriti pemerintahan di peringkat persekutuan dan negeri, serta menjejaskan keupayaan parti untuk melaksanakan mandat pilihan rayanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.