Mahkamah Rayuan kekalkan hak bekas jurutera dapat balik tanah RM2.5 juta

Mahkamah Rayuan kekalkan hak bekas jurutera dapat balik tanah RM2.5 juta

Mahkamah memutuskan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan alat pemindahan tanah berkenaan adalah pemalsuan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan memerintahkan perayu membayar kos RM88,000 kepada responden.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan lima bidang tanah bernilai kira-kira RM2.5 juta di Tanjung Piandang, Perak, dipulangkan kepada seorang bekas jurutera, selepas penipuan yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Hakim Ong Chee Kwan yang membacakan keputusan sebulat suara itu berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam memutuskan bahawa alat digunakan perayu dalam pemindahan berkenaan, termasuk surat kuasa wakil dan perjanjian penyelesaian, adalah pemalsuan.

“Walaupun undang-undang mengandaikan bahawa surat kuasa wakil yang disahkan dengan sewajarnya adalah sah, responden berjaya menyangkal andaian berkenaan menerusi keterangan langsung dan mengikut keadaan,” katanya dalam penghakiman itu.

Katanya, perayu juga gagal memberikan dokumen asal dan saksi material untuk menyokong kes mereka.

Turut bersidang, Hakim Azman Abdullah selaku pengerusi, serta Hakim Ahmad Kamal Shahid.

Responden, bekas jurutera Lim Peng Khoon yang juga plaintif di peringkat Mahkamah Tinggi, memfailkan tuntutannya pada 2018 dengan memohon perintah serta deklarasi supaya tanah berkenaan dipulangkan kepadanya, selepas dipindahkan daripadanya secara penipuan.

Lim menamakan Tea Chun Hia dan tiga anak lelaki wanita itu, Lee Chee Khoon, Lee Hui Khoon serta Lee Wooi Khong, sebagai defendan.

Beliau turut menyaman Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perak, pendaftar hak milik tanah negeri, dan pentadbir tanah Kerian kerana cuai dan melanggar kewajipan statutori. Mereka bagaimanapun tidak merayu terhadap keputusan itu.

Lim mendakwa Tea dan anak-anaknya mendapat tanah itu daripadanya secara tipu, manakala pihak berkuasa tanah negeri bertindak cuai dan melanggar kewajipan statutori seterusnya memudahkan pemindahan hartanah berkenaan secara tipu.

Tea dan anak-anaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dengan mencabar prosedur prosiding yang membawa kepada penghakiman berkenaan, selain beberapa aspek bukti dan dapatan undang-undang-undang Mahkamah Tinggi.

Perayu turut mencabar kesahan penghakiman Mahkamah Tinggi atas alasan Hui Khoon diisytiharkan bankrap sebelum penghakiman berkenaan dibuat pada 2023.

Ong berkata, rayuan secara utamanya melibatkan hak milik, khususnya sama ada pemindahan tanah dan dokumen sokongan adalah sah, dan bukannya tuntutan hutang.

“Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi berhak membuat penghakiman tanpa mendapat pelepasan daripada Mahkamah Kebankrapan, walaupun penguatkuasakan sebarang award berbentuk wang masih memerlukan pelepasan sedemikian,” katanya.

Ong memerintahkan perayu membayar kos sebanyak RM88,000 kepada Lim. Pentaksiran ganti rugi dihantar semula ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Perayu diwakili peguam Nicholas Kow, Emile Ezra Hussain dan Nur Amelia Izlyn Azhari, manakala responden diwakili Karin Lim, A Suppiah dan Nicholas Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.