
Tertuduh, Ambiah Bunanjin, 68; anaknya, Abdul Qodir Jailani, 29, dan Muhammad Idris, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie Mohamad Fadzil Esa.
Menurut Berita Harian, Ambiah didenda RM5,000, manakala Abdul Qodir dan Idris masing-masing didenda RM2,500 seorang.
Mahkamah juga memerintahkan Ambiah menjalani hukuman penjara dua tahun dan Abdul Qodir dan Idris setahun, sekiranya mereka gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ambiah didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan mengetuai upacara melihat anak bulan serta enggan mengikuti arahan untuk berpuasa pada tarikh ditetapkan 19 Febuari lalu (1 Ramadan).
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pantai Parit Penyengat, Muar, dan madrasah tertuduh dalam daerah itu, pada 18 dan 19 Feb lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dipenjara sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan dikenakan.
Abdul Qodir yang juga tenaga pengajar madrasah itu dan Idris, dituduh mengikut Seksyen 43 (A) enakmen sama kerana bersubahat dengan bapanya menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.
Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapat maklumat mengenai terdapat beberapa individu mula berpuasa pada 20 Feb (2 Ramadan) selepas melihat sendiri anak bulan, pada 18 Feb lalu.
Siasatan dijalankan mendapati, Ambiah serta beberapa orang anak muridnya serta orang awam pergi pantai Parit Penyengat di sini pada 18 Febuari dan mereka mula berpuasa pada 2 Ramadan (20 Feb). Tertuduh mendakwa anak bulan tidak kelihatan dan memberitahu supaya mula berpuasa pada tarikh berkenaan.
Ambiah yang bertindak sebagai pengendali kumpulan WhatsApp kemudiannya menyebarkan mesej itu kepada ahlinya yang terdiri 72 orang serta turut dikongsi orang awam sehinggalah penguatkuasa JAINJ menerima aduan itu.
Susulan itu, penguatkuasa JAINJ menahan tertuduh serta dua pengikutnya bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Lutfi Md Latif dan Azry Ismail Hassan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Fadzil dalam penghakiman berkata, kesalahan itu adalah berat yang tidak sepatutnya berlaku di negeri itu yang mempunyai sultan sebagai ketua agama.
“Jangan cuba tidak mengada-adakan hukum sendiri dengan membelakangi mufti dan Sultan. Tertuduh sepatut mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan,” katanya.
Pada masa sama, mahkamah meminta supaya madrasah terbabit diletakkan di bawah pemantauan ketat JAINJ sesuai dgn prosedur dan ketetapan jabatan itu.