
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, mengangguk faham dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu van dengan melulu dan menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, jam 12.30 tengah hari 5 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan kemudian memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan, lapor Kosmo.
Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Song Yan merayu wang jaminan dikurangkan kerana gaji hanya RM1,800 sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis sebulan sekali selain lesen memandu ditahan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 25 Jun.
Selasa lalu, media melaporkan mangsa maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan SK Seri Maimon.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika van yang berada dalam kawasan sekolah selepas menghantar barang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.