Lelaki didakwa pandu mabuk hingga sebabkan kematian

Lelaki didakwa pandu mabuk hingga sebabkan kematian

S Darshan ngaku tak salah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh memandu bawah pengaruh alkohol hingga sebabkan kematian Nur Aleya Natasha Roslan, Selasa lalu.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
S Darshan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Ujong Pasir, Selasa lepas. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Seorang pelayan bar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada Selasa lepas.

S Darshan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam darahnya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Nur Aleya Natasha Roslan, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ujong Pasir berhadapan Kondominium Pasir Mutiara, kira-kira 2.30 pagi, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun daripada tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Mawardi Zainudin memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,200 dan menanggung bapa berusia 58 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.