TNB diarah bayar RM4.7 juta atas kecuaian sebabkan banjir di Cameron

TNB diarah bayar RM4.7 juta atas kecuaian sebabkan banjir di Cameron

Mahkamah Tinggi anugerah ganti rugi kepada 100 plaintif berhubung operasi empangan yang menyebabkan banjir kilat di Lembah Bertam, 13 tahun lalu.

tnb tenaga nasional berhad
Pada 2018, Mahkamah Rayuan putuskan TNB bertanggungjawab selenggara Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands.
PETALING JAYA:
Syarikat utiliti gergasi Tenaga Nasional Bhd (TNB) diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM4.7 juta kepada 100 individu berikutan insiden pelepasan air dari empangan di Cameron Highlands 13 tahun lalu, yang meragut empat nyawa dan mengakibatkan kerugian harta benda.

Hakim Ahmad Shahrir Salleh membuat keputusan itu di Mahkamah Tinggi Seremban selepas menaksir jumlah ganti rugi dalam kes tersebut, susulan penemuan terdahulu yang mendapati TNB cuai dalam pengendalian Empangan Sultan Abu Bakar.

Mahkamah menganugerahkan ganti rugi khas sebanyak RM912,459.76, ganti rugi am sebanyak RM30,000 untuk setiap plaintif, dan ganti rugi teladan sebanyak RM10,000 bagi 83 plaintif yang terselamat.

Keseluruhan ganti rugi berjumlah RM4,742,459.76, beserta faedah tahunan 5% dari 25 Mei 2018 sehingga jumlah penghakiman itu diselesaikan.

Ahmad Shahrir berkata, beliau mengambil maklum keputusan mahkamah perbicaraan bahawa TNB bertanggungjawab sepenuhnya dan cuai dalam pengendalian dan penyelenggaraan Empangan Sultan Abu Bakar.

Beliau berkata, ganti rugi itu juga mengambil kira kesakitan, trauma dan penderitaan yang dialami oleh mangsa.

“Ganti rugi teladan dianugerahkan sebagai langkah punitif kerana defendan gagal menyelenggara empangan tersebut walaupun mampu berbuat demikian,” katanya.

Peguam Manogaran Marimuthu, Thulsi Manogaran dan Mooresh Kana Murthy mewakili plaintif, manakala Alvin John mewakili TNB.

Pada 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa TNB bertanggungjawab atas kecuaian, memandangkan syarikat utiliti itu memikul tanggungjawab menyelenggara Empangan Sultan Abu Bakar.

Panel hakim turut mengarahkan seorang hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menaksir kuantum ganti rugi yang akan dianugerahkan kepada plaintif.

Pada tahun berikutnya, TNB membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan tetapi gagal mendapat kebenaran untuk rayuan akhir didengar.

Pada 23 Okt 2013, TNB melepaskan air dari empangan itu sebanyak tiga kali, mengakibatkan banjir di Lembah Bertam yang memusnahkan harta benda dan mengorbankan empat nyawa.

Mahkamah Tinggi membenarkan saman tersebut pada 2018 selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak.

Hakim perbicaraan Nordin Hassan, yang kini hakim Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa keputusan TNB melepaskan air adalah tidak tepat, tanpa kehadiran alat pengukur aliran masuk.

Beliau berkata, tiada alasan bagi TNB untuk tidak dilengkapi dengan instrumen penting itu memandangkan empangan tersebut telah beroperasi sejak 1963.

Hakim turut menyatakan bahawa defendan menyalahkan kegiatan penebangan hutan, amalan pertanian intensif, dan pembuangan sampah sebagai punca masalah tersebut.

Plaintif memfailkan saman pada 2 Nov 2015, mendakwa TNB melepaskan air tanpa amaran dari empangan ke Sungai Bertam pada 12.20 tengah malam, 23 Okt 2013, susulan hujan lebat pada hari sebelumnya.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif mendakwa, pada 1 pagi hari yang sama, TNB sekali lagi melepaskan air ke Sungai Bertam, mengakibatkan banjir di kawasan hilir sungai tersebut.

Pada 2.45 pagi hari yang sama, mereka berkata, lebih banyak air dilepaskan oleh TNB ke sungai itu, menyebabkan banjir yang memusnahkan harta benda dan meragut empat nyawa.

Menurut mereka, TNB bertindak cuai apabila membuka alur limpah di empangan itu tiga kali berturut-turut tanpa memberi sebarang amaran kepada penduduk, menyebabkan mereka tiada masa untuk berpindah dan menyelamatkan barang-barangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.