
Hakim Collin Lawrence Sequerah, berkata Perkara 150(8) Perlembagaan menetapkan perkara itu tidak boleh diadili, seterusnya menghalang mahkamah daripada menelitinya.
Katanya, peruntukan tersebut memerlukan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa wujudnya darurat besar, di mana keputusan itu ‘muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun’.
Jsuteru, menjadi tanggungjawab pihak eksekutif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada wujud keadaan memerlukan perisytiharan sedemikian dibuat, kata hakim berkenaan.
“Mahkamah tidak boleh melaksanakan kuasa kehakimannya terhadap perkara berkaitan keselamatan negara. Hal itu sebaik-baiknya diserahkan kepada pihak eksekutif,” kata Sequerah ketika menolak rayuan peguam Syed Iskandar Syed Jaafar.
Syed Iskandar memohon kebenaran untuk mencabar keengganan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020.
Panel hakim, yang turut dibarisi Hakim Supang Lian dan Hakim Alwi Abdul Wahab, memutuskan Perkara 150(8) digubal untuk mengetepikan bidang kuasa mahkamah.
“Ada had kepada kuasa kehakiman. Penggubal Perlembagaan amat menyedari mengenai kompetensi institusi bagi setiap cabang kerajaan,” katanya.
Sequerah berkata, perkara berpusat kepada dasar seperti pertimbangan berkaitan keselamatan persekutuan, hubungan diplomatik dengan negara lain, ketenteraman awam, dan moraliti dianggap melangkaui kompetensi institusi badan kehakiman.
Hakim itu menyatakan, mahkamah menerima doktrin struktur asas sebagai sebahagian daripada jurisprudens Malaysia. “Ini termasuk pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman.”
Beliau menambah, panel hakim telah membenarkan rayuan itu diteruskan atas dasar kepentingan awam, walaupun keputusannya bersifat akademik bersandarkan kepada prinsip undang-undang dikenali sebagai ‘pengecualian Salem’ yang ditetapkan House of Lords England.
Pada 15 Feb 2024, Hakim Besar Malaya Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi memutuskan permohonan Syed Iskandar tidak boleh diadili.
Syed Iskandar menamakan kerajaan dan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin sebagai responden dalam rayuan berkenaan.
Peguam T Gunaseelan dan R Kengadharan mewakili Syed Iskandar, manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin hadir bagi pihak kerajaan.
Peguam Bastian Pius Vendargon mewakili Badan Peguam sebagai sahabat mahkamah.