Bagai melepaskan anjing tersepit

Bagai melepaskan anjing tersepit

Krisis adat bertukar percaturan kuasa, ‘parti kawan’ mula uji sempadan perjanjian politik.

dun negeri sembilan

Bagai melepaskan anjing tersepit. Itulah peribahasa secara automatik terlintas di fikiran saya apabila mengikuti perkembangan politik di Negeri Sembilan. Saya sengaja menekankan perkataan ‘politik’ kerana negeri ini belum reda dengan isu adat melibatkan (kononnya) pemecatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tiba-tiba, berkumpul puak-puak daripada sebuah parti ‘kawan’, kononnya mencari kepentingan terbaik untuk menahan lukah.

Tuduhannya ialah dakwaan Menteri Besar Aminuddin Harun gagal urus krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Aminuddin sebelum itu antara lain tidak mengiktiraf pengumuman dikeluarkan empat pembesar negeri. Tanpa pengiktirafan ini, maka gagal hasrat empat pembesar itu menurunkan Tuanku Muhriz dari takhta.

Keadaan menjadi semakin keruh apabila seorang tokoh adat yang mendakwa ‘pakar perlembagaan’ mengumumkan ‘pemecatan’ Tuanku Muhriz itu adalah sah. Perlu diingat, semua ini berlaku sebelum sebarang ketentuan diputuskan pihak berwibawa seperti mahkamah atau badan setaraf dengannya.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sekali lagi memberikan peringatan sangat tepat iaitu kerajaan negeri sedia ada bertanding pada PRN 2023 sebagai satu pasukan.

Kerajaan dipimpin Aminuddin bukanlah gabungan longgar dalam erti kata sebenar, tetapi pakatan yang terbentuk berdasarkan syarat dan peraturan dipersetujui bersama.

Jika kita berterus-terang, mudah untuk kita mengakui perjanjian itu dimeterai ketika ‘parti kawan’ itu berada dalam keadaan paling lemah.

Dengan apa yang berlaku sekarang, bagi Pakatan Harapan, keadaannya tidak ubah seperti ‘melepaskan anjing tersepit’.

Saya bukan ahli politik, apatah lagi anak Negeri Sembilan. Saya tidak pandai berpolitik dan tidak arif tentang adat.

Namun, sekiranya saya menerajui ‘parti kawan’ di Negeri Sembilan ketika ini, sudah pasti saya akan berada di tengah-tengah tiga pihak utama, iaitu:

  • Istana Besar Seri Menanti
  • Empat pembesar utama
  • Menteri besar sedang memerintah

Dengan hanya satu matlamat: meleraikan kemelut yang sedang melanda negeri ini.

Dengan penuh keyakinan dan keimanan bahawa tiada yang kusut tidak boleh dileraikan, sekiranya ditangani dengan keikhlasan kerana Allah.

Insya-Allah, menjelang PRN ke-16 nanti, saya yakin akan dipilih rakyat sebagai menteri besar — tanpa perlu berkempen!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.