
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), namun berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta persidangan DUN.
“Kemungkinan besar tidak. (Namun) ia terpulang kepada Tuanku, dan sudah tentu persidangan DUN,” katanya menurut Bernama selepas mesyuarat tertutup dengan kepimpinan tertinggi Huawei, yang diadakan sempena pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei, Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada PRN akan diadakan untuk menyelesaikan situasi di negeri itu.
Terdahulu, perdana menteri berkata sebarang perkembangan mengenai pentadbiran Negeri Sembilan akan diumumkan apabila tiba masanya.
Sementara itu, Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata beliau akan bertemu Anwar segera untuk membincangkan perkara itu.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, berkata mesyuarat itu antara lain akan menyentuh tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) yang menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Aminuddin Harun.
PH dan BN bertanding pada PRN Negeri Sembilan 2023 sebagai sekutu, dengan PH memenangi 17 kerusi dan BN 14 kerusi.
Khabar angin bertiup kencang Pengerusi BN negeri, Jalaluddin Alias, dicadangkan sebagai pengganti Aminuddin dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN), yang sebelum ini menyatakan kesediaan membentuk kerajaan negeri baharu bersama BN.