Pergolakan di NS burukkan lagi ketidakpercayaan dalam PH-BN, kata penganalisis

Pergolakan di NS burukkan lagi ketidakpercayaan dalam PH-BN, kata penganalisis

Sivamurugan Pandian kata tindakan Umno tarik sokongan pada kerajaan negeri diterajui PH cerminkan keretakan komunikasi pakatan itu.

bangunan DUN Negeri Sembilan bernama pic 28426
BN Negeri Sembilan yang mempunyai 14 Adun dakwa ada majoriti mudah bentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pergolakan politik di Negeri Sembilan berkemungkinan akan menambah lagi rasa ketidakpercayaan dalam pakatan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan, kata seorang penganalisis.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata penarikan sokongan Umno terhadap kerajaan negeri yang diterajui PH mencerminkan keretakan komunikasi antara rakan gabungan yang selama ini bekerjasama rapat di peringkat persekutuan.

“Kepercayaan antara PH dan BN semakin merosot, dengan Umno menyatakan ia belum memutuskan sama ada akan terus bekerjasama dengan PH pada PRU-16,” katanya kepada FMT.

Sivamurugan turut merujuk reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, yang berkata beliau terkejut dan tidak mengetahui mengenai langkah itu, sebagai petanda koordinasi lemah di peringkat negeri.

“Ia menunjukkan tiada rundingan awal. Itu memberi isyarat kurangnya keyakinan dalam hubungan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata PKR akan melihat tindakan itu sebagai satu niat jahat, dan memberi amaran bahawa kepercayaan mungkin terus merosot melainkan tindakan segera diambil untuk menyiasat serta menangani punca sebenar isu tersebut.

Sivamurugan juga berkata defisit kepercayaan itu boleh mendorong PH dan BN bertanding secara berasingan pada PRU akan datang, dengan PKR hilang kepercayaan terhadap BN, manakala BN percaya ia memperoleh semula kerelevanan politik yang mencukupi untuk berdiri sendiri.

“Secara terbuka, mereka akan kekal bersama buat masa ini. Tetapi secara tertutup, kedua-dua pihak berkemungkinan sedang merangka untuk bertanding secara solo,” katanya.

Tambahnya, Umno yang berdepan tekanan untuk mengekalkan sokongan Melayu mungkin juga mahu menunjukkan kekuatannya kepada Perikatan Nasional (PN).

James Chin dari University of Tasmania berkata langkah Umno itu satu tindakan oportunis apabila mengambil kesempatan daripada pertikaian membabitkan undang luak dan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata ia juga berkemungkinan didorong oleh keinginan Umno untuk merampas semula jawatan menteri besar yang hilang selepas PRU 2018.

“Mungkin Umno fikir mereka akan menunjukkan prestasi baik pada PRU akan datang, jadi mereka mengambil peluang sekarang,” katanya.

Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungai Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Semalam, semua 14 Adun Umno mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

BN negeri kemudian mendakwa ia mempunyai majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun PN.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata Tuanku Muhriz bertitah mahu beliau kekal sebagai menteri besar sehingga isu sokongan majoriti dalam dewan negeri itu ‘diperjelaskan’.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa, walaupun Adun Umno tidak lagi menjadi sebahagian daripada exco kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.